DAP mahu kerajaan bersikap telus dalam menangani isu ‘potong barisan’ dalam proses pemberian vaksin fasa pertama seperti didakwa baru-baru ini.
Melalui satu kenyataan parti itu berkata, mereka memandang serius dakwaan tersebut dan mahu keutamaan diberikan kepada petugas barisan hadapan.
"Kami amat mengalu-alukan seruan daripada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin Abu Bakar supaya pemberi maklumat tampil memaklumkan perkara itu dan mahu kerajaan mendedahkan pihak yang dibuktikan terlibat dengan kejadian 'potong barisan' untuk diberikan pengajaran kepada yang lain.
“la penting bahawa dakwaan ini tidak dibiarkan tanpa sebarang tindakan untuk menjamin keyakinan dan kepercayaan rakyat," jelas mereka.
Tindakan juga menurut kenyataan itu sangat perlu bagi memastikan kesaksamaan vaksin dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Sebagai rekod, kenyataan itu dikeluarkan bersama Setiausaha Agung DAP merangkap Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng; Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen; Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong.
Dalam pada itu, mereka turut menggesa kerajaan memperincikan secara spesifik kumpulan yang bakal menerima suntikan vaksin untuk fasa kedua program imunisasi tersebut bagi mengurangkan kekeliruan dan memastikan ia berjalan lancar.
![]() |
Gesa siasatan telus dakwaan 'potong barisan' |
“DAP juga akan memberi kerjasama dan menggembleng tenaga semua wakil rakyat kami untuk membantu dalam komunikasi strategik tentang manfaat vaksin Covid-19,” kata mereka lagi.