Tiga ADUN Amanah dilapor sertai KEADILAN


PORTAL
Malaysiakini hari ini melaporkan tiga lagi ahli dewan undangan negeri (ADUN) Amanah dari Johor menyertai Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN).

Penyertaan ke parti yang merupakan sekutu Amanah dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) itu - membabitkan Adun Senggarang Khairuddin A Rahim; Adun Serom Faizul Amri Adnan; dan Adun Mahkota, Muhamad Said Jonit.

Khairudin dan tiga sumber daripada KEADILAN dilapor mengesahkan perkara itu.

Khairuddin yang dipetik laporan portal itu memberitahu bahawa permohonannya yang dihantar September tahun lalu, diterima kira-kira pada Oktober tahun sama.

Beliau bagaimanapun tidak mengheboh-hebohkannya untuk menjaga hubungan antara parti.

Sebagai rekod,  Senggarang merupakan kerusi di bawah kawasan Parlimen Batu Pahat, yang kini disandang oleh Rashid Hasnon. Rashid menang kerusi itu atas tiket KEADILAN dalam PRU lalu, sebelum dia menyertai Bersatu selepas 'Langkah Sheraton' tahun lepas.

Sementara itu, Khairuddin berharap agar dapat diberikan ruang untuk bertanding kerusi parlimen dalam pilihan raya umum (PRU) yang akan datang nanti.

“Saya berniat nak bertanding (kerusi) Parlimen, Ini perjuangan rakyat, saya berjuang untuk rakyat, untuk isu rakyat.

“Jadi ada ruanglah bagi saya sini, kawan-kawan dalam KEADILAN. Itu harapan sayalah. Pada saya, untuk itu saya kira bersama dengan KEADILAN,” katanya seperti dilapor portal berkenaan.

Tahun lalu, dua Adun Amanah dari Selangor - Adun Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar serta Adun Sabak, Ahmad Mustain Othman - turut menyertai KEADILAN.

Mereka menyusul tindakan 2 ADUN Selangor
Faizul melepaskan jawatan dalam Amanah tahun lepas, ekoran hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan parti di Johor. Dia memberitahu bahawa dia tidak lagi berminat menjadi calon PRU-15 untuk Amanah.

Tahun lepas, Mustain difahamkan telah dipecat daripada parti kerana dikatakan melanggar perlembagaan parti tersebut.

Post a Comment

0 Comments