Pulau Pinang sumbangan RM1.251 juta untuk pengimarahan masjid

 


BAGI terus memperkasa syiar Islam di Pulau Pinang, Kerajaan Negeri dilapor memperuntukkan RM1.251 juta bagi program pengimarahan masjid-masjid di negeri itu.

Memetik laporan Buletin Mutiara, peruntukan itu turut meliputi sumbangan Ehya’ Ramadan bernilai RM251,000 untuk tahun ini (2021).

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM1 juta dikhususkan bagi program pengimarahan Masjid Negeri dan semua Masjid Daerah di Pulau Pinang.

“Peruntukan ini dimulakan sejak tahun 2009 lagi yang bertujuan memberikan ruang dan keselesaan untuk Masjid Negeri dan Masjid Daerah dalam menyediakan rogram serta aktiviti kepada jemaah dengan sebaiknya.

“Selain itu, peruntukan ini juga boleh digunakan untuk pemerkasaan Koperasi Kariah Masjid, Bantuan Rezeki kepada keluarga terputus bekalan makanan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta program sanitasi COVID-19 dan lain-lain lagi,” jelas Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti itu.

Ahmad Zakiyuddin sebelumnya menyerahkan sumbangan Kerajaan Negeri itu kepada Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Mohd. Zakuan Zakaria di Komtar awal minggu ini yang turut dihadiri Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor serta wakil-wakil JHEAIPP.

Sebagai rekod, kerajaan Pulau Pinang yang diketuai DAP pernah ditohmah kononnya mengabaikan orang Melayu dan cuba menghakis agama Islam di negeri itu.

Musuh-musuh politik DAP pernah membuat tuduhan kononnya kerajaan DAP Pulau Pinang tidak membenarkan azan dikumandang di negeri tersebut.

Bagi sumbangan Ehya’ Ramadan pula, Ahmad Zakiyuddin memaklumkan bahawa peruntukan yang disediakan adalah meliputi semua masjid termasuk Masjid Negeri, Masjid Daerah, Masjid Kariah, Masjid Ghaira Jamek serta Surau Jumaat Khas.

Syiar Islam di Pulau Pinang terus dipelihara
“Untuk menyemarakkan lagi sambutan bulan Ramadan Al-Mubarak akan datang ini Kerajaan Negeri menyediakan sedikit sumbangan untuk disalurkan kepada masjid-masjid di seluruh negeri dengan kos RM251,000.

“Walau bagaimanapun, sumbangan ini tidak termasuk surau solat Jumaat sementara dalam tempoh PKP tetapi pihak Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) akan cuba mempertimbangkan untuk menyalurkan sumbangan Ramadan melalui peruntukan Zakat Pulau Pinang (ZPP),” katanya dipetik.


 

Post a Comment

0 Comments