Tindakan Barathidasan bukti slogan "PAS For All' hanya retorik - Arulselvi


KEPUTUSAN
Setiausaha Kebangsaan Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP), S Barathidasan bertindak keluar daripada parti itu dianggap bukti PAS telah gagal mengotakan slogan 'PAS For All' yang dibawa mereka.

Timbalan Pengerusi Biro Integrasi Angkatan Wanita Parti Amanah Negara (Awan) Nasional, Arulselvi Nathan yang memuji tindakan berani Barathidasan itu berkata ibarat sudah terang lagi bersuluh, PAS dan pemimpin peringkat pusat gagal menjaga kepentingan dan kebajikan masyarakat bukan Islam khususnya di Kedah.

Beliau merujuk beberapa peristiwa yang berlaku di Kedah yang kini ditadbir PAS melalui Perikatan Nasional (PN) yang sebelum ini dilapor menjadi punca Barathidasan meninggalkan jawatan dan keahliannya dalam DHPP.

“Kepentingan kaum dan agama lain sudah tidak lagi diberi perhatian sebagai agenda parti tersebut.

“Situasi menjadi semakin tegang sejak bermulanya isu kuil Hindu yang diroboh tanpa ada rundingan dengan kerajaan Persekutuan.

“Belum sempat pun bahangnya reda, Menteri Besar Kedah yang juga daripada parti Pas telah bertindak membatalkan cuti peristiwa sempena perayaan Hari Thaipusam baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan.

Barathidasan sebelum ini membuat tindakan mengejutkan apabila meletakkan semua jawatan yang disandang di dalam DHPP dan PAS

Beliau yang menyertai DHPP sejak 2016 mendakwa bahawa PAS tidak lagi mesra dalam isu-isu bukan Muslim.

"Walaupun parti itu kata 'PAS untuk semua', namun, secara realiti sejak akhir-akhir ini parti itu jarang menyentuh isu-isu bukan Muslim.

"Malah, pusat pimpinannya tidak cuba menyelesaikan beberapa isu yang mengecewakan masyarakat bukan Melayu khususnya di Kedah," katanya dipetik.

Sementara itu Arulselvi mengingatkan bahawa Malaysia perlu dibangunkan dengan semangat patriotik jujur dan tulus untuk negara, sambil ikhlas memelihara dan melebarkan semangat saling memahami, saling menghormati dan saling mengasihi di antara semua masyarakat berbilang yang menjadi keunikan dan kehebatan negara.

Awan Nasional juga jelasnya menzahirkan solidariti mereka atas kekecewaan Barathidasan dan mengalu-alukan sekiranya beliau dan rakan-rakan beliau berhasrat untuk menyertai Amanah.

parti yang terbina dari serpihan PAS itu jelasnya kekal konsisten dan berani berprinsip dalam menyatakan sokongan serta pembelaan terhadap hak-hak masyarakat majmuk dan minoriti dalam Malaysia.

 Prinsip Amanah "Islam Rahmat Untuk Semua'
"Amanah yang berpegang kepada prinsip 'Islam Rahmat Untuk Semua' telah banyak meleraikan permasalahan berkaitan masyarakat bukan Islam, sekalipun mereka terus menjadi sasaran serangan propaganda jahat, fitnah dan adu domba kaum dan agama.

“Ia sama sekali tidak pernah mematahkan semangat semua kepimpinan Amanah yang jelas menjadikan ajaran sebenar Nabi Muhammad SAW sebagai ikutan dan panduan mengurus keunikan ciptaan Tuhan yang penuh dengan kepelbagaian,” katanya lagi.