Pendakwa raya buktikan prima facie, Rosmah dipanggil bela diri

 


ISTERI bekas Presiden Umno, Rosmah Mansor diarah untuk membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah berhubung pembekalan dan pemasangan sistem tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Keputusan itu dibuat hakim Mohamed Zaini Mazlan dalam pendengaran yang diadakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebentar tadi.

“Saya mendapati pihak pendakwa raya berjaya membuktikan terdapat prima facie bagi semua pertuduhan,” kata Mohamed Zaini.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram manakala Rosmah diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader dan Datuk Jagjit Singh.

Pada 11 Disember lalu, pendakwaan menutup kesnya yang berjalan hampir tiga tahun.

Seramai 23 individu termasuk bekas Pegawai Khas kepada Rosmah iaitu Datuk Rizal Mansor; bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan ketika itu, Tan Sri Madinah Mohamed dipanggil sebagai saksi kes itu.

BACA:
3 pilihan jika Mahkamah arah Rosmah bela diri


Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa meminta suapan untuk dirinya sendiri RM187.5 juta, yang dibuat melalui Rizal iaitu 15 peratus nilai kontrak daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

 Rosmah Mansor diarah supaya membela diri
Bagi pertuduhan kedua, Rosmah dan ketiga, Rosmah didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta dan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak Holdings.

Kesalahan itu dilakukannya di Jalan Langgak Duta.
 
Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

 
 

Post a Comment

0 Comments