Kes rasuah: 3 pilihan jika Mahkamah arah Rosmah bela diri


MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur akan memutuskan sama ada akan memanggil Rosmah Mansor untuk membela diri atau membebaskannya dalam pertuduhan kes rasuah berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak.

Kes itu telah berlanjutan sejak Mac 2018. Sekiranya isteri bekas Perdana Menteri, Najib Razak itu dibebaskan, ia akan menutup terus episod kes ini.

Sekiranya mahkamah memerintahkan isteri kepada bekas Perdana Menteri itu untuk membela diri, Rosmah mempunyai tiga pilihan untuk respons kepada arahan tersebut.

Memetik laporan Bernama, pilihan pertama yang boleh dilakukan adalah beliau boleh berdiam diri dan tidak menjawab pertuduhan.

Kedua, Rosmah boleh memberikan kenyataan tidak bersumpah daripada tempat saksi tanpa pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan.

Ketiga, beliau boleh memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dengan pihak pendakwaan diberikan peluang untuk menyoalnya semasa pemeriksaan balas.

Pastinya, Kompleks Mahkamah Jalan Duta akan menjadi tumpuan apabila bekas Najib Razak dijangka menemani isterinya itu dalam mendengar keputusan itu.

BACA: Nasib Rosmah ditentukan Khamis depan

Untuk rekod, Rosmah berhadapan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin.

 Rosmah berdepan tiga tuduhan
Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Kes Rosmah di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan dijadualkan bermula 9 pagi ini.

Post a Comment

0 Comments