PENGERUSI Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu merujuk beberapa persoalan ke Mahkamah Persekutuan berkaitan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan kerajaan melaksanakan darurat.
Peguam yang mewakili Ketua Pembangkang di Parlimen itu dalam satu kenyataan memaklumkan, persoalan yang akan dirujuk ke mahkamah tertinggi itu adalah termasuk sama ada nasihat kerajaan untuk Agong menggantung Parlimen adalah tertakluk bawah klausa penggulingan dalam Artikel 150 Perlembagaan.
Selain itu, Anwar mahu mahu mahkamah memerintahkan sama ada keputusan menggantung Parlimen boleh disemak semula oleh mahkamah, dan jika bidang kuasa perundangan, termasuk kuasa semakan semula berhubung prosedur, dapat dihalang sepenuhnya oleh badan perundangan.
Beliau turut mempersoalkan sekiranya Seksyen 39 (2) Akta Malaysia 1963, 15 (d) Akta Perlembagaan (Pindaan) 1981 serta Artikel 150 (6) dan (8) Perlembagaan tidak konsisten atau bertentangan dengan Artikel 4, 5, 8 dan 121 (1) Perlembagaan.
“Saya berpendapat persoalan yang diajukan itu perlu diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dan mempertimbangkan kesegeraan hal tersebut, terutama memandangkan Parlimen sekarang ditangguhkan, saya juga memfailkan perakuan segera supaya perkara itu segera didengar,” kata kenyataan itu.
Ahli Parlimen terutama dari HARAPAN dan beberapa dari Umno sebelum ini mempersoal tindakan Muhyiddin menasihati atau memberi cadangan kepada Seri Paduka Baginda supaya proklamasi darurat dijalankan.
Pertikaian itu kerana pengisytiharan darurat yang dilaksanakan oleh kerajaan seakan-akan langkah politik setelah seorang demi seorang ahli Parlimen blok kerajaan telah menarik diri daripada menyokong Ahli Parlimen Pagoh itu.
Bukan sekadar itu, keputusan Muhyiddin menggantung sidang Parlimen ketika perintah darurat dikuatkuasa juga telah menimbulkan persoalan, terutama bagaimana perbahasan mengenai langkah memerangi wabak Covid-19 akan dijalankan.
Sebagai rekod, Anwar yang juga adalah Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILA) memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman pada akhir Januari, dengan menamakan perdana menteri dan kerajaan.
![]() |
Tindakan untuk cabar tindakan Muhyiddin |
Anwar turut mendakwa nasihat Muhyiddin Yassin kepada Agong adalah bertentangan dengan undang-undang.