PEMIMPIN muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang sebelum ini ditahan kerana memiliki tanaman ganja dan cecair dipercayai mengandungi narkotik dilapor telah didakwa pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur Saiful Azly Kamaruddin dipetik berkata, Adam Asmuni, 35, dituduh dengan satu pertuduhan dibawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup jika didapati bersalah.
"Dia dituduh dengan satu pertuduhan di bawah Seksyen 39B pada 29 Januari di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur," katanya dipetik laporan Malaysiakini.
Sebagai rekod, pada 20 Januari Adam Asmuni ditahan di Fraser Business Park di Kuala Lumpur atas kesalahan memiliki barang terlarang.
Siasatan lanjut membawa polis ke rumah di Ampang dan polis didakwa merampas 1.5kg daun ganja kering, sembilan tanaman ganja, dan cecair dadah berisi padu 7.87 liter dipercayai mengandungi narkotik.
Selain Adam, isterinya Lyiana Roslee, 34, dan seorang warga asing turut ditahan pihak polis.
Lyiana didakwa dengan tiga tuduhan mengedar dan menghasilkan dadah di Mahkamah Majistret Ampang semalam.
BACA: Isteri ahli politik BERSATU berdepan hukuman mati
Sekiranya didapati bersalah, Lyiana berdepan hukuman mati sekiranya sabit kesalahan atau penjara maksimum 30 tahun.
![]() |
Adam berdepan hukuman mati |