ISTERI seorang pemimpin sayap Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini atas tiga pertuduhan menanam dan mengedar pokok dadah jenis ganja, bulan lalu.
Lyiana Roslee, 34, berdepan hukuman mati sekiranya sabit kesalahan atau penjara maksimum 30 tahun
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, wanita itu yang juga seorang suri rumah, bersama dengan seorang lagi yang belum dituduh, didakwa mengedar dadah berbahaya jenis kanabis anggaran berat 1.58 kilogram dan cecair dadah sama berisi padu 7.87 liter.
Kesalahan itu didakwa di lakukan di sebuah rumah di Duta Residensi, pada jam 7.30 malam, 20 Januari lalu.
Bagi kedua-dua kesalahan itu, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 39(B)(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta sama, dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau gantung sampai mati dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 15 kali, jika sabit kesalahan.
Sementara bagi pertuduhan ketiga, wanita itu bersama dengan seorang lagi yang belum dituduh, didakw mengusahakan sembilan tanaman ganja. Sekiranya didapati bersalah, dia boleh dipenjara selama 30 tahun.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 6B(1)(a) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6(A)(3) Akta sama, yang dibaca di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali, jika sabit kesalahan.
Pada 22 Januari lalu, media melaporkan seorang ahli politik berusia 35 tahun yang juga bekas calon bagi kerusi parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, ditahan polis kerana dipercayai mengedar dadah di Pudu, Kuala Lumpur.
Selain suspek, isteri dan pembantu rumahnya turut ditahan bagi membantu siasatan.
![]() |
Suspek didakwa tanam dan edar ganja |
Majistret Farah Nasihah Annuar hari ini menetapkan 16 Februari depan sebagai sebutan semula kes.