ADUN gesa siasat pembahagian kerja konsesi Marris


SETIAUSAHA Parti AMANAH negeri Johor,  Ir Khairuddin A Rahim membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu berhubung kerja-kerja penyelenggaraan jalan di negeri ini.

Khairuddin yang juga merupakan  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senggarang membuat laporan itu pada Rabu setelah mendakwa terdapat unsur penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dalam pemberian konsesi di bawah Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris).

Ia berhubung tindakan kerajaan negeri melantik sebuah syarikat melaksanakan kerja-kerja konsesi di bawah Marris.

Tindakan itu jelas Khairuddin dianggap sebagai tindakan monopoli yang boleh menyebabkan kontraktor kecil bumiputera di negeri itu bakal gulung tikar.

"Saya mewakili kontraktor pembinaan Johor memohon SPRM menjalankan siasatan berkaitan pelaksanaan kerja- kerja penyelenggaraan jalan di bawah Marris.

"Jika ada penyalahgunaan kuasa ini mungkin menyebabkan hak kontraktor kecil dirampas oleh kontraktor besar. Tindakan ini mengakibatkan hampir 3,000 kontraktor kehilangan punca pendapatan," katanya dipetik.

Sementara itu, Khairuddin turut mendesak supaya kerajaan negeri segera mengambil tindakan bagi  menyelamatkan kontraktor kecil bumiputera.

Khairuddin gesa selamatkan kontraktor kecil


"Kita sudah ada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan (PBT), maka kerajaan tidak perlu membazirkan duit menyalurkan duit kepada syarikat konsesi.


"Dibimbangi akan berlaku penyelewengan dalam pengagihan kerja apabila diserahkan kepada syarikat konsesi. Pasti yang akan jadi mangsa ialah kontraktor kecil Melayu yang terkesan dengan sistem berkenaan," katanya lagi.