AHLI PARLIMEN Damansara, Tony Pua Kiam Wee bertegas untuk meneruskan saman terhadap Najib Razak berhubung dakwaan salah laku bekas Perdana Menteri itu sebagai pegawai awam berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Tony yang dipetik laporan FMT berkata, saman yang difailkan beliau terhadap Najib empat tahun lalu itu bukanlah bersifat peribadi tetapi sebaliknya bertujuan bagi memelihara kepentingan awam.
“Bukan untuk saya bagi menyelesaikan secara baik dengan Najib. Ini saman berkait kepentingan orang ramai untuk menyatakan Najib bertanggungjawab terhadap kerugian yang dialami kerajaan akibat tindakannya, sama ada rasuah, khianat amanah atau cuai,” katanya pada Rabu.
Pendirian itu disuarakan Tony susulan cadangan Mahkamah Tinggi pada Selasa supaya kes saman keatas Najib itu diselesaikan secara baik.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Setiausaha Publisiti DAP berkata, tindakan Najib yang masih tidak mahu mengakui dan mengambil tanggungjawab atas perkara tersebut juga menyebabkan penderitaan rakyat Malaysia.
“Oleh itu tidak ada sebab untuk penyelesaian dijalin. Kami akan maklumkan begitu kepada mahkamah,” katanya.
Tony memfailkan saman terhadap Najib dan kerajaan pada 16 Januari 2017 atas dakwaan Najib terlibat dalam salah laku pentadbiran awam dan kerajaan membabitkan 1MDB menuntut ganti rugi am, tambahan dan teladan, faedah, kos serta relief lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Tony mendakwa Najib adalah seorang pegawai awam kerana beliau ialah Ahli Parlimen Pekan, Perdana Menteri pada ketika itu dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB manakala dalam kapasiti berkenaan, beliau mempunyai peranan secara langsung dan tidak langsung dalam membuat keputusan serta hala tuju 1MDB.
Mahkamah Tinggi sebelum ini menolak saman Tony atas alasan Najib bukan seorang pegawai awam dan dengan itu beliau tidak boleh disaman atas dakwaan salah guna kedudukan jawatan awam dan Ahli Parlimen Damansara itu gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan pada Julai 2018 yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.
![]() |
Saman untuk kepentingan awam |
Pada 19 November 2019, Mahkamah Persekutuan memutuskan Najib semasa menjadi Perdana Menteri adalah seorang pegawai awam dan boleh disaman atas dakwaan menyalahgunakan jawatan awam dan Tony boleh meneruskan samannya terhadap Najib serta kerajaan Malaysia melalui perbicaraan di Mahkamah Tinggi Sivil.
0 Comments