Integrasi hospital swasta, K'jaan digesa dedah perincian dana


KERAJAAN digesa bersikap telus dalam perincian rundingannya dengan hospital swasta bagi mengintegrasikan kemudahan itu untuk membantu usaha menangani pendemik Covid-19.

Ketua Bendahari KEADILAN, Lee Chean Chung membuat gesaan itu kerana bimbang dana RM100 juta untuk tujuan itu mungkin tidak akan digunakan dengan bijak.
 
"Saya khuatir jika proses perundingan tidak dibuat secara telus, terbuka, dan dengan perencanaan yang tepat, kekurangan katil dan peralatan tidak dapat ditangani dengan baik dan sebaliknya dana itu dihabiskan oleh sektor-sektor terpilih dalam jangka waktu yang singkat," katanya dalam satu kenyataan.

ADUN semambu itu sebelumnya mengulas pengumuman Muhyiddin Yassin mengenai peruntukan itu pada 18 Januari lalu.

Difahamkan, setakat 23 Januari belum ada perincian mengenai bagaimana dana tersebut akan digunakan.

Sementara itu, Chean Chung dalam kenyataannya juga mempersoalkan apakah akan ada "layanan diskriminatif" ketika hospital awam dan swasta digabungkan.

"Siapa yang memutuskan pesakit itu masuk hospital kerajaan atau swasta? Bolehkah hospital swasta mengutamakan kelas tertentu atau mereka yang mempunyai kad perubatan jika mereka dibenarkan menggunakannya?

"Tidak ada yang ingin dijangkiti oleh Covid-19, tetapi kombinasi dwi-sistem boleh meningkatkan risiko layanan diskriminatif, yang menyebabkan ketidakadilan sosial," katanya lagi.

Dalam kenyataannya juga, Chean Chung menegaskan bahawa kerajaan seharusnya menumpukan usaha untuk meningkatkan kemudahan pengasingan berpusat seperti pusat rawatan kuarantina dan berisiko rendah di Serdang.

 K'jaan digesa tingkat kemudahan sedia ada
"Selain itu, pihak berkuasa harus berusaha untuk pencegahan: iaitu meningkatkan kemampuan pengesanan, pengasingan / kuarantin dan pemeriksaan, yang jelas telah berkurang dalam beberapa minggu terakhir.

"Memperuntukkan RM100 juta kepada sektor swasta untuk mengatasi Covid-19 mungkin didengar bagus, tetapi akibat yang tidak diingini dapat menjangkau jauh," katanya.