Ahli Parlimen anggap slogan baru hanya propaganda




SEORANG Ahli Parlimen membidas arahan terbaharu pentadbiran Muhyiddin Yassin supaya slogan “Prihatin Rakyat: Darurat Memerangi Covid-19” ditambah dalam surat rasmi kerajaan yang berkuat kuasa hari ini.

Lim Lip Eng (Kepong) mempersoalkan, apakah frasa itu sebenarnya tidak lebih daripada satu propaganda politik- sebuah persembahan yang tuli dan buta dengan keluhan rakyat.

“Apakah frasa baru ini cadangan yang datang daripada petugas barisan hadapan seperti pakar-pakar perubatan atau adakah frasa ini hanya sebahagian daripada propaganda politik J-KOM yang dikuat kuasakan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam?” soalnya dalam kenyataan.

Jabatan Perkhidmatan Awam semalam mengeluarkan surat yang mewajibkan frasa itu dimuatkan dalam surat rasmi, sepanjang tempoh darurat bagi menggantikan frasa “Saya yang menjalankan amanah”.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata, keputusan itu selaras dengan pengisytiharan darurat.

Walau bagaimanapun, kata Lip Eng, kerajaan Perikatan Nasional (PN) memberikan gambaran seolah-olah tiada cara lain untuk melandaikan keluk jangkitan Covid-19 melainkan dengan mengisytiharkan darurat.

Sedangkan menurutnya negara-negara lain meskipun mencatat angka jangkitan lebih tinggi, mereka tidak pun mengisytiharkan darurat bagi mengatasi masalah Covid-19.

Banyak slogan lain lebih sesuai digunakan
“Parlimen dan dewan undangan negeri juga tidak dibenarkan untuk bersidang sedangkan taska boleh.

“Jelas, proklamasi darurat ini hanya dilihat sebagai senjata politik oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk mengekalkan jawatan beliau,” katanya sambil menegaskan ada banyak lagi slogan lebih sesuai untuk menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam mendepani cabaran Covid-19, seperti: Pelitup Muka Memerangi Covid-19, Jarak Sosial Memerangi Covid-19, Kebersihan Kendiri Memerangi Covid-19 dan Vaksin Memerangi Covid-19.

 

Post a Comment

0 Comments