S'gor ambik kira keperluan vaksin untuk pekerja asing

 


PEMBELIAN  vaksin Covid-19 oleh kerajaan negeri Selangor untuk penduduk negeri itu akan turut mengambil kira keperluan pekerja asing, kata Menteri Besar Amirudin Shari.

Dipetik laporan Bernama, Amirudin berkata, kerajaan negeri bercadang untuk menyediakan vaksin Covid-19 pada harga berpatutan khususnya kepada pengusaha kilang di negeri ini yang banyak menggunakan khidmat pekerja asing.

"Kerajaan negeri akan membeli vaksin itu, tapi mungkin untuk kilang-kilang ini kita akan jual pada kos yang minimum bagi memastikan pekerja asing juga menerima vaksin itu.

"Bukanlah kita nak tumpu pemberian vaksin kepada pekerja asing sahaja tetapi disebabkan kerajaan pusat tumpu kepada penduduk tempatan maka kita fokuskan juga kepada pekerja asing serta rakyat tempatan yang memerlukan," katanya kepada pemberita selepas pengumuman khas 'Pakej Kita Selangor'.

Jelas Amirudin, sekiranya pembelian itu berjaya dilakukan rakyat tempatan akan turut diberikan vaksin secara percuma dan ia sekali gus dapat mengurangkan beban kerajaan pusat.

 S'gor sudah senaraikan pembekal
Kerajaan negeri juga sudah menyenarai pembekal vaksin berkenaan, namun ia masih dalam proses rundingan setakat ini.

Inisiatif ‘Pakej Kita Selangor’, yang diumumkan kerajaan melibatkan peruntukan sebanyak RM73.87 juta untuk membantu mereka yang terjejas oleh pusingan kedua Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) yang dikuatkuasakan pada 13 Januari.

Melalui pakej bantuan, sejumlah RM6 juta telah diperuntukkan untuk program saringan Covid-19 yang disasarkan secara besar-besaran yang akan memberi manfaat kepada 50,000 orang di negeridikuasai Pakatan Harapan (HARAPAN) itu.


Post a Comment

0 Comments