Ramai desak lanjutkan masa operasi kedai makan


DESAKAN
supaya kerajaan mempertimbangkan kelonggaran kepada beberapa aktiviti perniagaan terutama berkaitan makanan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semakin kuat.

Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM) merayu supaya sektor perniagaan pasar malam, kedai makan dan peniaga kecil yang kebanyakkanya membabitkan golongan B40 dibenarkan dan tempoh perniagaan dilanjutkan.

"Sewajarnya perniagaan pasar malam dibenarkan beroperasi bagi memudahkan penduduk tempatan mendapatkan bahan masakan harian.

"Penganjur tapak pasar malam sememangnya berpengalaman untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang diamalkan sejak mereka dibenarkan berniaga semula oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum ini," katanya Setiausaha Agungnya, Mohamed Zamri Mohammed dalam kenyataan semalam.

Mohamed Zamri turut menegaskan bahawa pihaknya menerima banyak rintihan sebahagian besar ahli persatuan di enam negeri terlibat PKP.
 
Sebagai rekod, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil semalam meminta kerajaan meneliti semua ketatapan waktu operasi kedai makan di kawasan terlibat PKP.
 
Menurut Pengarah Komunikasi KEADILAN itu, beliau banyak menerima aduan dari masyarakat dan peniaga kedai makan bahawa kebenaran diberikan untuk mereka menjalankan perniagaan hanya sehingga jam 8 malam tidak munasabah.

BACA:
K'jaan digesa benarkan kedai makan beroperasi hingga 10 malam

Golongan penghantar makanan turut merungut dengan keputusan kerajaan yang menetapkan supaya perniagaan makanan ditutup pada jam 8 malam.

Penghantar Food Panda yang mahu dikenali sebagai Pak Tam, 40, yang dipetik laporan Malaysiakini berkata bukan sahaja pendapatannya terjejas, malah menyukarkan pelanggan dan peniaga makanan.

“Kalau kedai tutup pukul lapan malam, biasanya pukul tujuh malam mereka sudah bersiap untuk tutup. Jadi jumlah penghantaran kami banyak berkurang," katanya.
 
"Lanjutan ini bukan untuk keuntungan kami saja, tetapi pihak lain juga termasuk orang ramai. Kami harap boleh lanjutkan sehingga 10 malam," katanya dipetik.

Sementara itu, Mohamed Zamri meggesa kerajaan membuka sekatan larangan makan dalam kedai dengan memperketatkan SOP sedia ada.

"Benarkan peniaga membuka meja untuk pelanggan-pelanggan yang sentiasa bergerak dengan (menjaga) penjarakan dan hadkan bilangan tempat duduk.

"Selain itu, peniaga kecil yang mempunyai kedai tetap berkunci sendiri sama ada di dalam atau luar bangunan harus dibenarkan berniaga, sama seperti premis di kompleks perniagaan besar," katanya.

Menurutnya, beliau berharap nasib penjaja dan peniaga kecil yang hilang mata pencarian diberikan perhatian sewajarnya oleh kerajaan.

"Pihak kami menyokong agar ahli-ahli kami terus berdikari untuk menyara kehidupan keluarga masing-masing dan tidak hanya mengharapkan bantuan kewangan daripada kerajaan," katanya.

 Had masa hingga jam 8 tak munasabah
Selain GPPPKMM, Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) dan Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) sebelum ini turut merayu agar masa perniagaan dilanjutkan.

Sebagai rekod, Majlis Keselamatan Negara (MKN) menetapkan aktiviti perniagaan seperti pasar malam, bazar larut malam, kedai gunting rambut, refleksologi, salun dan spa adalah dilarang sepanjang tempoh PKP.

Post a Comment

0 Comments