Pulau Pinang berminat ambil alih perkhidmatan feri ikonik


KERAJAAN Pulau Pinang dilapor sedia mempertimbangkan cadangan mengambil alih perkhidmatan feri ikonik di negeri itu.

Wala ubagaimanapun langkah itu hanya akan menjadi kenyataan sekiranya Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) sedia memberikan kemudahan itu kepada kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang Zairil Khir Johari yang dipetik laporan Bernama berkata,  Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang pada Rabu lalu membuat ketetapan jika kerajaan Persekutuan tidak berminat untuk meneruskan perkhidmatan feri ikonik itu, kerajaan negeri akan mempertimbangkan pengambilalihan pemilikannya.

"Kerajaan negeri amat memahami sentimen rakyat tempatan yang rata-rata tidak setuju dengan penamatan perkhidmatan feri ikonik itu, jadi dalam usaha memelihara kesinambungan perkhidmatan berkenaan, kami akan mempertimbangkan pengambilalihan.

"Memandangkan SPPP dan PPSB tidak mempunyai rancangan masa depan untuk mengekalkan feri-feri ikonik sebagai kaedah pengangkutan, maka kerajaan Pulau Pinang ingin mencadangkan agar feri-feri ini diberikan sebagai ‘hadiah’ kepada rakyat dan negeri," katanya dalam kenyataan semalam.

Difahamkan, Zairil telah berhubung dengan SPPP selaku pihak berkuasa dalam perkara berkenaan untuk membincangkan cadangan tersebut.

Sebagai rekod, bermula 1 Januari lalu perkhidmatan bot penumpang laju antara Pangkalan Sultan Abdul Halim di Butterworth dan Swettenham Pier Cruise Terminal, Georgetown dimulakan bagi menggantikan perkhidmatan feri.

 Pulau Pinang sudah berhubung dengan SPPP
Bot laju itu hanya untuk kegunaan penumpang sehingga ketibaan pengangkut kenderaan (vehicle transporter).

Kementerian Pengangkutan seblum ini menyatakan fasa pemodenan perkhidmatan feri akan dimulakan dengan memperkenalkan tiga bas air (untuk penumpang) bermula 1 Jan, diikuti dua pengangkut kenderaan yang hanya membawa kenderaan bermotor dua roda (seperti motosikal dan basikal) dan akan beroperasi mulai 2022.



Post a Comment

0 Comments