KERAJAAN dikepalai Muhyiddin Yassin perlu bertanggungjawab terhadap kejatuhan ketara pelaburan langsung asing (FDI), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bekas Menteri Kewangan era 90-an itu berkata begitu sebagai merujuk laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) yang pengaliran masuk FDI ke Malaysia jatuh 68% kepada AS$2.5 bilion pada 2020.
“Malaysia merosot dalam kadar paling tinggi 68%. Maknanya, kita dari segi keupayaan menarik pelaburan parah, kalah berbanding negara Asean yang lain.
“Apa alasan? Kata menteri Covid-19, apa Filipina tak ada Covid-19 kah, Indonesia tak ada Covid-19?” katanya dalam siaran langsung di Facebook.
Anwar yang kini merupakan Ketua Pembangkang dalam Parlimen berkata, kejatuhan FDI itu adalah rekod terburuk dalam kalangan negara Asia Tenggara.
“Kalau penurunan kecil kita boleh faham, tapi ini besar menggambarkan kita lemah mentadbir.
“Apa salahnya katakan ya, kita tak berjaya tarik pelaburan, jadi kita akan adakan beberapa langkah baru untuk menarik pelabur.” ujarnya.
Menurut laporan UNCTAD, FDI di Asia Tenggara berkurangan 31% kepada AS$107 bilion, dengan FDI Singapura jatuh 37% kepada AS$58 bilion, Indonesia 24% ke AS$18 bilion dan Vietnam 10% ke AS$14 bilion.
Memetik FDI Indonesia yang merosot 24% dan Filipina naik 29%, Anwar berkata, kerajaan perlu belajar daripada negara ini cara menangani pandemik dengan lebih berkesan.
“Indonesia tidak ada darurat, pelaburan merosot kecil. Filipina tidak ada darurat, pelaburan meningkat 29%.” tambahnya.
Anwar sementara itu menggesa kerajaan mula bertanggungjawab terhadap urus tadbir lemah mereka yang menyebabkan kejatuhan ketara dalam FDI.
Ketidakstabilan politik jelasnya ialah faktor utama pelabur asing memilih negara lain berbanding Malaysia.
![]() |
PN digesa telus dalam hal ekonomi negara |
Untuk rekod, pada Disember lalu, agensi penarafan AS, Fitch Ratings menurunkan penarafan Malaysia dari “A-“ ke “BBB+” dengan unjuran negatif ke stabil.
Berikutan penurunan penarafan itu katanya, kos pinjaman negara dijangka akan meningkat, sekali gus menyebabkan pelaburan ekonomi tersekat.
0 Comments