Taman Rimba Kiara kekal : kemenangan penduduk dan Hannah Yeoh


MAHKAMAH
  Rayuan pada Rabu dilapor telah membatalkan perintah pembangunan dikeluarkan kepada Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan pemaju Memang Perkasa Sdn Bhd untuk membangunkan sebahagian Taman Rimba Kiara.

Memetik laporan Malaysiakini, Keputusan sebulat suara itu disampaikan menerusi persidangan dalam talian oleh tiga panel hakim dipengerusikan hakim Mary Lim.

Persatuan Penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) serta Kumpulan Kerja Selamatkan Taman Rimba Kiara (Save Taman Rimba Kiara Working Group) yang dipetik laporan sama menyifatkan keputusan penghakiman itu sebagai "kemenangan besar" buat penduduk kawasan itu.

“Keputusan itu satu kemenangan besar untuk komuniti dan kejiranan kami yang gigih dan tidak putus-putus berjuang untuk memelihara Taman Rimba Kiara.

“Ramai antara kamu mungkin mengingati protes pertama kami pada 2016 dan ada banyak bantahan sama yang dilakukan pada tahun berikutnya," kata mereka dalam kenyataan.

Mereka turut menyampaikan penghargaan kepada Bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga bekas Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh.

“Perjuangan panjang dan sukar ini dapat dicapai dengan ketekunan dan komitmen untuk melindungi ruang hijau kita daripada pihak yang mementingkan komersial, ditambah sokongan kuat Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh,” tambah mereka lagi.

Difahamkan, pasukan peguam di sebalik rayuan tersebut terdiri daripada Christopher Leong, Aliff Benjamin Suhaimi, Abraham Au dan Phoebe Loi. Mereka diketuai Prof Gurdial S. Nijar sebagai peguam utama.

Sementara itu, Hannah di laman facebooknya turut mengucapkan tahniah pasukan peguam dan  warga TTDI yang mula membangkitkan dan memperjuangkan isu itu sehingga ke mahkamah.

"Tahniah kepada Hafiz, Leon, Khairuddin, Sivakumar, Clinton dan banyak lagi.

“Berjuang dengan lawan politik anda sukar.  Tetapi dengan setiap langkah sukar yang harus saya ambil dalam beberapa tahun terakhir (termasuk ancaman untuk dituntut sebanyak RM10 juta oleh pemilik tanah Yayasan Wilayah Persekutuan) dan setiap kali saya bertanya apakah saya telah melakukan perkara yang betul, penduduk dan pengundi saya berada bersama untuk menceriakan saya, ”katanya.

Dengan keputusan itu, kedua-dua kumpulan terbabit kini menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Kementerian Wilayah Persekutuan membina perumahan "berpatutan, rendah dan kekal" bagi keluarga yang tinggal di rumah panjang dalam taman berkenaan.

 Mahkamah batal perintah pembangunan
“Kami mengulangi gesaan untuk perumahan baru bagi keluarga rumah panjang (di kawasan Taman Bukit Kiara) dan kami akan terus berusaha untuk mendapatkan penyelesaian yang tepat dan adil untuk perumahan kekal bagi keluarga itu.

“Mereka adalah jiran dan rakan dalam komuniti TTDI dan kami akan bersama mereka,” kata mereka dipetik.

Post a Comment

0 Comments