Nasihat Muhyiddin kepada Agong tersasar, dakwa Anwar


PENGERUSI
Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan agar semua anggota parlimen mengutuskan warkah kepada Yang di Pertuan Agong bagi merayu agar pengisytiharan darurat dibatalkan.

Anwar melalui surat yang dihantar kepada ahli Parlimen membuat saranan itu supaya supaya parlimen dapat bersidang semula sebelum 31 Januari.

"Dalam surat tersebut saya telah mencadangkan kepada semua ahli parlimen supaya mengemukakan rayuan dalam kadar segera.

"Warkah tersebut juga hendaklah disesuaikan menurut pertimbangan semua ahli parlimen atau parti.

"Semoga warkah ini nanti mendapat ihsan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk menarik balik Pengisytiharan Darurat dan seterusnya menitahkan agar sidang parlimen harus diadakan dalam kadar segera sebelum 31 Januari 2021," jelas Anwar melalui satu kenyataan semalam.

Kata Presiden KEADILAN itu lagi, sidang parlimen penting bagi membahaskan isu darurat, penularan wabak Covid-19 dan kemelut ekonomi yang melanda negara.

Untuk rekod, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pada Selasa lalu memberi perkenan supaya Pengisytiharan Darurat dilaksanakan.

Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas sejurus itu berkata parlimen akan digantung dan pilihan raya tidak akan diadakan, namun badan kehakiman, kerajaan awam dan kegiatan ekonomi akan berjalan seperti biasa.

Ramai pemimpin Umno dan pembangkang mengkritik keputusan untuk menggantungkan parlimen, ia dianggap  sebagai helah  Muhyiddin bagi menyelamatkan kerajaan PN yang kini didakwa telah tiada majoriti selepas tiga ahli parlimen Umno menarik balik sokongan kepadanya.

Dalam memo kepada ahli parlimen bertarikh 14 Januari itu, Anwar berkata Muhyiddin dan kerajaan telah terlanjur dan tersasar dalam menyampaikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Perdana menteri lebih tertumpu kepada usaha mempertahankan kuasa.

"Pandangan dan peruntukan sedia ada adalah mencukupi untuk mengekang wabak Covid-19 termasuk langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Cadangan membentuk jawatankuasa bersama telah diutarakan sejak Mac 2020.

 Anwar rayu Agong tamatkan darurat
"Ia tidak memerlukan darurat," kata Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi sambil menegaskan tindakan Muhyiddin itu akan menyebabkan kemelut ekonomi amat membimbangkan, manakala jumlah pengangguran, kemiskinan dan kesenjangan bertambah.

"Darurat pastinya akan menyebabkan kedudukan ekonomi tambah meruncing," katanya.