Mujahid gesa Muhyiddin terima hakikat telah hilang majoriti


AHLI PARLIMEN
Pagoh,  Muhyiddin Yassin digesa akur dengan kehilangan jumlah majoriti diperolehnya di Dewan Rakyat.
 
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) yang juga Ahli Parlimen parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof melalui satu kenyataan media berkata, Muhyiddin perlu meletak jawatan dan menyerahkan jawatan itu kepada seorang Ahli Parlimen lain yang mempunyai majoriti melalui proses Perlembagaan.
 
Tindakan itu jelasnya wajar dilakukan supaya sebuah kerajaan yang sah dapat dibentuk dan berupaya mengembalikan kepercayaan rakyat bagi mengatasi masalah pandemik Covid-19.

“Tanggungjawab kerajaan baharu meneruskan peruntukan undang-undang yang ada dengan mengukuhkan konsensus mengatasi isu penularan dan peningkatan Covid-19.

“Pada waktu yang sama, tanggungjawab kerajaan baharu ialah mengembalikan demokrasi dan kepercayaan orang ramai terhadap institusi pemerintahan dengan mengambil masa sebelum pembubaran wajib pada tahun 2023 untuk tujuan tersebut,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Ahli Parlimen Machang, Ahmad Jazlan Yaakob dan Ahli Parlimen Padang Rengas, Mohamed Nazri Abdul Aziz baru-baru ini mengumumkan menarik balik sokongannya kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Dengan perkembangan itu, kerajaan PN kini didakwa hanya memiliki sokongan 109 ahli Parlimen.

Sementara itu, Dr Mujahid menggesa agar kerajaan baharu dengan konsensus lebih besar dibina dan mencari jalan penyelesaian memahami pendekatan mengatasi krisis politik yang menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi pemerintahan dan politik.

“Tiada percanggahan dari sudut membentuk ketahanan nasional dalam mengatasi Covid-19 malah ia merupakan satu konsensus.

“Percanggahan pendapat hanyalah kepada cara mengatasi krisis politik yang pada hemat kami harus kembali kepada peruntukan perlembagaan tanpa berkompromi pada asas-asas demokrasi,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mujahid menyatakan rasa kesalnya dengan penggantungan sidang Parlimen susulan perintah darurat.

Tegasnya, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) juga seharusnya tidak perlu digantung.

“Malangnya darurat telah mengurangkan semua peruntukan demokratik malah hak asasi dan institusi keperwakilan tidak lagi berperanan secara sepenuhnya,” katanya.

Keabsahan di Dewan tak pernah dibuktikan
Muhyiddin sebelum ini dikritik kerana menggantung sidang Dewan Rakyat dan DUN.

Sesetengah pihak melihat ia sebagai helah bagi mempertahankan kuasa, kerajaan Muhyiddin bagaimanapun menolak andaiaan itu.

Post a Comment

0 Comments