Lupakan Mahathir, HARAPAN mesti 'move on' - AMK


ANGKATAN MUDA KEADILAN (AMK) berpandangan, sudah sampai masanya untuk Pakatan Harapan (HARAPAN) bergerak ke hadapan dan melupakan Dr Mahathir Mohammad.

Pandangan itu disampaikan ketuanya, Akmal Nasir susulan kenyataan Mahathir berkenaan Pengerusi Gabungan itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Akmal berkata, Mahathir menjadikan acara untuk menerangkan hala tuju Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) kepada "platform untuk menyerang Anwar".

"Sikap Mahathir menunjukkan seolah-olah kewujudan Pejuang hanya untuk menafikan kewibawaan Anwar sebagai ketua pembangkang dan pengerusi HARAPAN," katanya Ahli Parlimen Johor Bahru itu dalam kenyataan.

Mengulas desakan daripada parti komponen HARAPAN berhubung kerjasama dengan Mahathir yang mahu dikenali sebagai 'Gabungan Besar' yang diwar-warkan baru-baru ini, Akmal berpandangan bahawa Anwar sendiri telah  mengendurkan pendiriannya dengan berkata sanggup untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak selagi prinsip HARAPAN dipatuhi.

Bagaimanapun, katanya lagi, Mahathir memutuskan untuk menyerang Anwar dua hari kemudian.

"Mahathir sewajarnya bermuhasabah atas sikapnya yang sering berdolak-dalik terhadap janji yang telah disepakati menjelang PRU14.

"Kami juga merasakan telah tiba masanya untuk HARAPAN ‘move on’ daripada episod kerjasama dengan Mahathir.

"HARAPAN perlu sedar bahawa penglibatan Mahathir yang cuba menunggang jenama 'grand coalition' hanya sekadar strategi pecah dan perintah yang sering dia gunakan, namun kali ini strategi itu sudah lapuk.

"Amat tidak masuk akal sekiranya ulang siar strategi lapuk ini mampu memperdaya dan memecah belah kesepaduan dan kesepakatan KEADILAN dan HARAPAN," katanya lagi.

Akar umbi KEADILAN dan sebahagian dari HARAPAN sebelum ini melihat hubungan parti dalam gabungan itu sedikit bergolak setelah Dr Mahathir enggan memberi sokongan kepada Anwar untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

 Akmal gesa Tun M bermuhasabah diri
Usaha Mahathir yang dilihat menyekat kemaraan Anwar untuk kejawatan itu dilihat mengganggu proses mengukuhkan gabungan berkenaan apalagi dengan kenyataan-kenyataan pemimpun pembangkang bukan dari gabungan itu yang meremehkan kemampuan Anwar sebagai Ketua Pembangkang.

Post a Comment

0 Comments