Tiga maut kereta kena rempuh lori

 

SEPASANG suami isteri serta seorang ahli keluarga mereka maut setelah terbabit kemalangan melibatkan lapan kenderaan.

Kemalangan itu yang berlaku berhampiran Plaza Tol Machap dekat Johor petang semalam membabitkan tiga lori dan lima kereta semuanya dari arah Simpang Renggam menghala Ayer Hitam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, mangsa Wong Fook Onn, 55, dan Chong Yoke Choo, 52, meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi dikenali sebagai Tan Saw Ngo, 55, meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

Siasatan awal mendapati mangsa bersama tiga lagi penumpang yang menaiki kereta Hyundai Elantra berada di belakang dua buah lori.

"Ketika menunggu di lampu isyarat, sebuah lori Hino 10 tan yang datang dari arah belakang hilang kawalan sebelum merempuh kereta mangsa serta enam lagi kenderaan yang berada di hadapan.

"Akibat rempuhan itu, kedua-dua mangsa tersepit di tempat duduk masing-masing sebelum dikeluarkan oleh pasukan Bomba dan Penyelamat Ayer Hitam," katanya

 Dua mangsa disahkan maut di tempat kejadian
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Shamin Mohamed Salikin berkata, seramai 10 anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah utiliti Pajero dikejarkan ke lokasi kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kita dapati berlaku kemalangan melibatkan lapan kenderaan iaitu kereta Hyundai Elantra, Naza Citra, Perodua Bezza, Volkswagen Tiguan, Perodua Alza, lori Hicom tiga tan, lori Hino 10 tan dan lori Nissan satu tan. Mangsa yang cedera pula dikeluarkan oleh orang awam," katanya menerusi satu kenyataan.

Kemangan itu turut tular di laman sosial dengan dakwaan lori berkenaan mengalami masalah brek.

Warganet melahirkan rasa kurang senang kerana kejadian serupa membabitkan jentera berat sering berlaku.

Post a Comment

0 Comments