PN terdedah pengkhianatan, HARAPAN perlu bentuk kabinet bayangan



GABUNGAN Pembangkang diketuai Pakatan Harapan (HARAPAN) perlu membentuk Kabinet bayangan bagi meredakan ketidaktentuan politik dalam negara sekaligus menarik sokongan rakyat kepada mereka.

Pengurus Unit Demokrasi dan Tadbir Urus,
Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Aira Azhari berkata yang dipetik laporan FMT berkata, pembangkang sendiri merupakan institusi yang menyediakan semak dan imbang terhadap keputusan kerajaan.

Dengan pembentukan kabinet bayangan itu tegas Aira, pembangkang bukan sahaja boleh mengemuka cadangan balas kepada kerajaan, namun turut dapat membangunkan idea dasar untuk menangani masalah pengangguran, menghidupkan semula ekonomi, meningkatkan tadbir urus baik dan pengawalan Covid-19.

Katanya, cadangan balas yang konkrit perlu dibangunkan, misalnya menyediakan “belanjawan bayangan”.

“Tahun ini merupakan kali pertama dalam beberapa tahun belakangan ini HARAPAN sebagai pembangkang tidak membentangkan belanjawan Bayangan.

“Hanya apabila pembangkang mencadangkan idea dasar yang konkrit yang akan meningkatkan kesejahteraan rakyat, barulah mereka akan memenangi kembali kepercayaan masyarakat awam," jelasnya.

Tambahnya, dalam Kabinet bayangan itu, sekurang-kurangnya perlu ada seorang Ahli Parlimen yang mengendalikan setiap kementerian.

Sementara itu, ketika mengulas isu berkaitan Belanjawan 2021 oleh Perikatan Nasional baru-baru ini, Aira berkata, ia telah mendedahkan kerajaan Muhyiddin Yassin hanya mempunyai majoriti 3 Ahli Parlimen.

Kerajaan PN disifatkan rapuh
"Sekali gus menunjukkan ia sebuah kerajaan yang rapuh dan terdedah kepada pembelotan.

“Majoriti tipis pihak kerajaan hanya akan memanjangkan ketidakstabilan yang sedang hadapi, justeru mandat perlu dipulangkan kepada rakyat untuk memilih kerajaan seterusnya,” katanya lagi.