MP kecewa syarikat dikenakan hukuman terlalu ringan


AHLI PARLIMEN Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah kecewa apabila pihak berkuasa mengenakan hukuman yang tidak setimpal dengan kesalahan dilakukan sebuah kilang di pelabuhan Klang.

Menurutnya Maria, denda RM1,000 terhadap kilang sarung tangan yang melanggar SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hasil serbuan pada Khamis lalu terlalu rendah.

Maria turut membandingkan hukuman yang dikenakan pihak berkuasa terhadap orang awam yang melakukan kesalahan hampir serupa sebelum ini.

“Amat mengejutkan apabila pihak berkuasa hanya boleh mengenakan denda RM1,000 terhadap kilang sarung tangan di Pelabuhan Klang kerana melanggar SOP.

"Rakyat biasa pula pernah didenda sehingga RM8,000,” katanya dalam satu kenyataan.

Bekas Pengerusi Bersih itu dipercayai merujuk serbuan terhadap asrama milik kilang tersebut dimana 781 pekerja ditemui tinggal berhimpit dalam dua kontena setinggi tiga tingkat.

Menurut Maria apa yang lebih membimbangkan ialah syarikat korporat seperti itu melanggar SOP dan tidak mempedulikan keadaan kesihatan dan keselamatan pekerja mereka.

"Denda bagi mereka yang melanggar (SOP) sepatutnya berperanan sebagai pencegahan dan ia penting agar ia dilaksanakan berdasarkan keseriusan tahap pelanggaran yang dilakukan, dan berdasarkan undang-undang, ia (denda) boleh dikenakan sehingga RM10,000,” katanya.

Sementara itu,  Maria berkata apa yang berlaku menunjukkan terdapat keperluan mendesak dalam sistem pemantauan yang lebih efektif bagi memastikan syarikat mematuhi SOP terhadap pekerja mereka.

Katanya, apa yang berlaku terhadap beberapa syarikat sarung tangan lain yang didapati bersalah sebelum ini mesti dijadikan pengajaran oleh syarikat lain untuk menjadikan premis mereka tempat yang lebih baik dan menggalakkan prestasi pekerja mereka.

Sementara itu,  Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman  turut  kecewa dengan hukuman ringan dikenakan. 

Jelasnya, negara ini sepatutnya tidak mengamalkan sikap pilih kasih atau ‘dua darjat’ dalam melaksanakan dasar dan menguatkuasakan undang-undang.

 Hukuman ringan tak beri kesan
Hukuman yang terlaku ringan itu katanya hanya memberi gambaran kerajaan  tidak serius memberi pengajaran kepada pemilik kilang terbabit.

"Sangat tidak logik dan tidak boleh digunapakai. Kena ada penjelasan mengapa jumlah yang terlalu sedikit untuk mereka bayar.

"RM1,000 ini saya jamin tidak akan beri apa-apa kesan kepada majikan. Duit ini boleh dibayar dari poket majikan sahaja. Tidak ada pengajaran yang boleh diberi," tegasnya.



 

Post a Comment

0 Comments