KRISIS Politik di Perak tamat apabila Bersatu dan PAS bersetuju Pengerusi Umno Perak, Saarani Mohamad dicalon menteri besar yang baru di negeri itu.
Perkembangan itu menyusul setelah Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dilapor mengadakan pertemuan bersama Presiden kedua-dua parti itu di Kuala Lumpur hari ini.
Persetujuan itu diumumkan Setiausaha Agung BN Annuar Musa di media sosial dengan memuat naik salinan kenyataan media bersama ketiga-tiga parti itu.
"Dalam pertemuan itu Ahmad Zahid Hamidi telah menyampaikan pernyataan maaf bagi pihak Adun-adun BN Perak di atas kekhilafan yang berlaku.
"Ketiga-tiga parti telah bersetuju untuk mencadangkan Saarani sebagai menteri besar Perak yang baru untuk diperkenankan oleh Sultan Perak," kata mereka.
Bersatu dan Pas sebelum ini dilapor enggan mengadakan kerjasama dengan Umno bagi membentuk kerajaan baharu.
Sebelum ini terdapat ura-ura mengatakan Umno bakal menjalin kerjasama dengan DAP bagi membentuk kerajaan berteraskan perpaduan.
Krisis di Perak berlaku susulan tindakan seorang ADUN Umno yang membawakan usul percaya terhadap Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu.
Bagaimanapun, Adun Chenderiang yang juga Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu gagal mendapat sokongan majoriti daripada wakil-wakil rakyat negeri dengan 10 menyokong berbanding 48 yang tidak menyokongnya.
Saarani dijadualkan angkat sumpah esok |
Sementara itu, Saarani yang merupakan Adun Kota Tampan dijadual mengangkat sumpah sebagai menteri besar pada jam 11 pagi esok.
0 Comments