Jangan mudah dikelirukan musuh - KEADILAN S'wak

KEADILAN Sarawak menyifatkan Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Idris Buang tidak memahami dan salah paham dengan keputusan Larry Sng Wei Shien melepaskan jawatan sebagai Pengerusi KEADILAN Negeri.

Abun Sui Anyit, Ketua Penerangan KEADILAN Sarawak berkata, keputusan Larry melepas jawatan itu tidak semestinya memberi isyarat parti tersebut berada dalam krisis, seperti tanggapan Idris.   

"KEADILAN Sarawak menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan tidak berasas ini baik di peringkat nasional mahu pun di peringkat negeri.

"Idris suka menangguk di air keruh. Berkias melindungi kelemahan urus tadbir dan rasuah dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Perikatan Nasional (PN)," katanya dalam satu kenyataannya pada Selasa.

Larry yang merupakan Ahli Parlimen Julau dari KEADILAN dalam kenyataan di laman Facebooknya mengesahkan hjasrat meletak jawatan itu.

Katanya, KEADILAN Sarawak wajar diketuai individu berbangsa Dayak memandangkan majoriti rakyat negeri itu berketurunan tersebut.

Langkah itu tegas Larry dapat memperkukuh sokongan rakyat Sarawak kepada parti itu selain mempersiap parti dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 tidak lama lagi.

Malah beliau yakin ada individu lebih baik darinya dapat memimpin parti tersebut di negeri Malaysia Timur itu.

Bagaimanapun, Idris  memperkecil tindakan Larry dengan menyifatkan ia agak terlambat.

Beliau berkata, usaha itu hanya akan merencat dan mengeruhkan keadaan menjelang PRN yang dijangka diadakan kurang lapan bulan dari sekarang.
 
Dalam pada itu, Abun menjelaskan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sarawak sudah mengambil maklum tentang hasrat Wei Shien dan akan membincangkan perkara itu dalam masa terdekat.

 Rakyat jangan mudah terkeliru
"Itu merupakan hasrat peribadi beliau untuk memberi laluan kepada pemimpin lain. Walau bagaimanapun hasrat ini akan dibincangkan oleh MPN Sarawak dalam masa terdekat.

"Keadilan Sarawak juga berharap agar rakyat Sarawak tidak mudah terpengaruh dan dikelirukan oleh pihak luar yang mempunyai agenda tersembunyi dalam memberi kritikan negatif terhadap urusan KEADILAN ini," katanya.

Post a Comment

0 Comments