AHLI Parlimen Umno dari Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman dianggap mempunyai pandangan politik sempit.
Ia susulan kenyataannya sebelum ini yang tidak bersetuju dengan cadangan agar ahli Parlimen pembangkang diberikan peruntukan sama seperti wakil kerajaan di Dewan Rakyat yang menurutnya akan "membunuh" Barisan Nasional (BN).
Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke melalui satu wawancara bertajuk "Konsensus Nasional untuk Malaysia" di laman Facebook malam tadi mendakwa peruntukan itu wajar diberi kerana kerajaan yang mentadbir negara hari ini berada dalam keadaan lemah.
Sekiranya kerajaan mahu mendapat kerjasama dari pembangkang, mereka jelasnya perlu ada persefahaman.
"Kalau esok kita (Pakatan Harapan) menang balik, kita perlu commit bahawa pembangkang perlu dapat peruntukan yang sama.
"Bagi saya ia membunuh atau tak, ini pandangan politik yang sempit," katanya dipetik.
Bagaimanapun tegas Loke, Umno tidak akan bersetuju dengan perkara itu (peruntukan sama rata) kerana mereka akan hilang kuasa tawar menawar dengan kerajaan sedia ada. Loke anggap tajuddin berpandangan sempit
“Saya rasa Umno takkan setuju perkara ni, kerana kalau ada perjanjian macam ni, maknanya pihak pembangkang ada persefahaman dengan PM (Perdana Menteri). Umno punya bargaining power (kuasa tawar menawar) habislah.
"Bagaimana nak ada reconciliation (pendamaian) kalau perkara macam ni pun tak boleh bekerjasama?' soalnya.
Sementara itu, bekas menteri pengangkutan itu turut membidas kenyataan Tajuddin yang mendakwa Pakatan harapan (HARAPAN) tidak memberi peruntukan kepada pembangkang ketika mereka memerintah.
Jelas Loke, ketika HARAPAN menjadi kerajaan, Ahli Parlimen diberi peruntukan RM100,000 dan mereka mempertimbangkan untuk meningkatkan jumlahnya secara berfasa..
"Sebelum 2018, tak ada Ahli Parlimen pembangkang yang dapat satu sen pun dari kerajaan. Tapi di bawah HARAPAN, kita dah ubah sikit dan beri RM100,000.
"Pada ketika tu, kita baru ambil alih (kerajaan). Kita rasa akan tingkatkan angka itu secara berfasa," tegasnya.
Loke sebelum ini mencadangkan perjanjian Keyakinan dan Perbekalan yang disepakati oleh kedua-dua parti kerajaan dan pembangkang tanpa pembentukan gabungan rasmi seperti dilakukan di negara-negara Komanwel ketika parti kerajaan tidak memiliki kerusi majoriti atau kedudukannya di parlimen tidak stabil.
Ia antaranya dengan melaksana reform dimana peruntukan ahli parlimen diberikan secara sama rata.
Peruntukan itu jelasnya akan dimasukkan ke akaun pusat khidmat bagi digunakan untuk membantu rakyat.
0 Comments