Kartunis sindir peraturan baru Dewan Rakyat


BEBERAPA
tindakan pelik yang diputuskan pada sesi Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 yang bermula sejak Isnin lalu mengundang reaksi ramai.

Ia termasuk keputusan memendekkan sesi tersebut hanya dari pukul 10 pagi hingga 1 petang sepanjang minggu ini.

Tindakan itu sebelum ini bukan sahaja dipersoal warganet, mahal turut mencuri perhatian beberapa kartunis prolifik tanah air.

Kartunis Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwarul Haque mengkritik pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Takiyuddin Hasan itu dengan karya  bertajuk “PM, Parlimen & Tuan Speaker!”

Dengan imej tangan ‘PM’, Zunar mengambarkan ‘Speaker Art’ sedang ‘memaku’ papan keranda bertulisan ‘demokrasi berparlimen’
 
Turut tertera  di atas keranda berkenaan ialah tampalan bertulis “Pendekkan waktu sidang” dan “Tolak usul pembangkang” selain “guna alasan Covid” dan “Selamatkan Muhyiddin”. Keempat-empat ungkapan itu dilihat sebagai pendekatan kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk terus berkuasa ketika mereka didakwa mempunyai majoriti tipis dua undi.

Selain karikatur berkenaan, penerima anugerah berprestij ‘Cartoonist for Peace Award 2016’ juga menghasilkan dua lagi karikatur berkaitan isu pemendekkan tempoh sidang Dewan Rakyat.

Zunar kritik keputusan Parlimen
Semua imej-imej tersebut naik di Facebook rasmi Zunar pada hari pertama Sesi Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 bermula.

Sementara itu, kartunis Megat Abdul Wahid pula melukis watak seorang individu berpakaian istiadat Dewan Rakyat di sebalik daun pintu dengan dialog, “Piss… Mr. Speaker! Make it until 1pm only.”

Sebelum ini, seorang Ahli Parlimen turut mempersoalkan motif di sebalik keputusan memendekkan sesi tersebut.

P Prabakaran (KEADILAN-Batu) menegaskan bahawa masih banyak isu berkaitan kepentingan rakyat belum dibincangkan.

“Keputusan untuk mengakhiri sidang parlimen awal mungkin mempunyai beberapa motif di belakangnya dan bukan semata-mata kerana takut kepada Covid-19.

“Harap ini bukan strategi politik lain untuk menguburkan beberapa usul yang dibawa oleh pembangkang,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, kira-kira 25 Ahli Parlimen telah menghantar usul tidak percaya terhadap perdana menteri, Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, Parlimen akan membahaskan semua usul dibawakan pihak kerajaan terlebih dahulu sebelum usul-usul lain boleh dibacakan.

Semalam, Parlimen membuat satu lagi keputusan mengejutkan apabila mengehadkan jumlah ahli Parlimen yang dibenarkan berada di Dewan Rakyat termasuk ketika pembentangan Belanjawan 2021 hari ini.

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, hanya 80 Ahli Parlimen dibenar masuk dengan pecahan 41 pihak kerajaan dan 39 pihak pembangkang dan Bebas.

Tinjauan di laman sosial mendapati keputusan itu sekali lagi dikritik kerana dianggap berat sebelah dan melucukan.


Post a Comment

0 Comments