DG jawab tuduhan Duta Khas PM dengan ayat Al-Quran

 


KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menegaskan bahawa tidak timbul isu takut mati dalam melaksanakan tugasnya untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di negara ini.

Dr Noor Hisham berkata begitu sebagai mengulas kenyataan Duta Khas Perdana Menteri ke China, Tiong King Sing (GPS-Bintulu) ketika sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat semalam yang berkata, 'DG (Ketua Pengarah Kesihatan) takut mati' kerana Dr Noor Hisham tidak turun ke Sabah. 

"Setiap yang bernyawa pasti merasai mati', sesungguhnya kami adalah milik Allah, dan kepada-Nya kami kembali," jawapan Dr Noor Hisham Abdullah yang memetik firman Allah SWT ayat 185 dalam surah Al-Imran kepada kenyataan King Sing itu.

Ketika mengadakan sidang akhbar hariannya, Dr Noor Hisham berkata, beliau sendiri ada ke Sabah pada akhir Ogos lalu untuk melihat pengurusan dan kesiapsiagaan KKM terutamanya bagi Pilihan Raya Negeri Sabah.
 
"Saya juga telah arahkan timbalan saya, Datuk Dr Chong Chee Kheong untuk turun bersama minggu lepas. Tan Sri Jemilah Mahmood juga turun dua minggu lepas untuk melihat pengurusan dan isu-isu di Sabah.

"Tidak timbul isu kita takut mati. Kita sebagai orang Islam, kita terima kematian itu boleh berlaku di mana-mana, bukan hanya turun padang ataupun tidak," katanya.

Semalam, King Sing mencetuskan kemarahan dikalangan Ahli Parlimen Pembangkang dan warganet susulan kenyataan yang dianggap menghina Dr Noor Hisham.

BACA:
Dewan kecoh setelah Duta Khas PM tuduh Dr Noor Hisham 'takut mati'

"DG (Ketua Pengarah Kesihatan) hari-hari buat berita, bagi 'Office Boy' (budak pejabat) boleh baca. Kenapa dia tidak turun padang... Macam di Kota Kinabalu, Sabah begitu teruk pandemik Covid-19.

"Kenapa dia tidak melawat setiap hospital, berbincang dan beri sokongan kepada frontliners. Jangan hantar doktor, jururawat saja pergi sebab itu orang (mereka) tidak takut mati, tapi DG takut mati," katanya dipetik.

Susulan kekecohan ditimbulkan King Sing, Ahli Parlimen Jelutong DAP, RSN Rayer (Jelutong) menjadi mangsa apabila dihalau keluar dewan setelah mempertahan Dr Noor Hisham dengan menggesa King Sing menarik balik kenyataanya.

Dr Noor Hisham jawab tuduhan King Sing
Di media sosial, rakyat mengecam kenyataan Ahli Parlimen dari Sarawak itu dengan menyifatkannya sebagai tidak bertanggungjawab.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, apa yang penting ialah niat untuk melaksanakan tugas dan untuk memutuskan rantaian Covid-19 dalam negara.

"Jadi, apa yang penting ialah kita pasangkan niat untuk melaksanakan tugas kita dan niat kita ialah untuk memutuskan rantaian Covid-19 dalam negara kita.

"Ini ialah tujuan utama. Kita boleh selisih pendapat tetapi yang pasti apa kita laksanakan ialah untuk memutuskan jangkitan Covid-19 supaya kita dapat selamatkan negara kita daripada peningkatan kes jangkitan Covid-19 dan kadar kematian," katanya lagi.


Post a Comment

0 Comments