DEWAN Rakyat hari ini kecoh setelah Duta Khas Perdana Menteri ke China membuat kenyataan bahawa Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah "takut mati" kerana tidak hadir sendiri ke Sabah untuk melakukan pengawasan wabak Covid-19 di negeri itu.
Kenyataan oleh Tiong King Sing (PN-Bintulu) itu telah menyebabkan rasa tidak senang dikalangan beberapa Ahli Parlimen pembangkang terutama dari DAP, RSN Rayer (HARAPAN - Jelutung).
“DG (Dr Noor Hisham) takut mati sebab dia tak turun di Sabah, tak lockdown awal-awal di penjara,” kata Tiong.
Mendengar kenyataan Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) tersebut, Rayer bangun sambil meminta Tiong menarik balik kenyataan tersebut.
Kata Rayer, dia tidak akan membenarkan Tiong "menghentam" Noor Hisham dan menganggap ia sebagai tindakan "kurang ajar".
"Saya tidak benarkan dia (Tiong) hentam DG (Dr Noor Hisham), dia adalah petugas barisan hadapan, jangan kurang ajar, Bintulu.
“Jangan hina pegawai kerajaan,” jerit Rayer.
Keadaan dalam dewan kemudian menjadi bertambah panas apabila Shahidan Kassim (BN-Arau) mula menjerit dan meminta Rayer duduk.
Timbalan Speaker Azalina Othman Said kemudian memberi amaran untuk mengusirnya Rayer keluar dari Dewan Rakyat jika tidak berbuat demikian.
“Jelutong tolong duduk, saya nak buat ruling (ketetapan)... I am warning you (saya memberi amaran kepada kamu), kalau tak duduk saya akan keluarkan,” katanya.
Namun Rayer enggan mengikuti arahan Azalina dan mempersoalkan apakah dia mahu diusir hanya kerana mahu mempertahan Noor Hisham.
Sejurus kemudian Azalina mengarahkan bintara Dewan membawa wakil Rayer keluar.
Rayer pertahan Noor Hisham |
Tiong tetap enggan menarik balik kenyataannya itu dengan membuat dakwaan kenyataan tersebut berasaskan keluhan petugas baris hadapan.
“Ini suara petugas barisan hadapan, jadi saya tidak mahu tarik balik. Selalu (Noor Hisham) hantar orang. Dia kena pergi jugalah,” tegas Tiong.
Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong kemudian mempertahan Dr Noor Hisham dengan menyatakan bahawa Pengarah Kesihatan itu merupakan 'frontliner' yang bertugas sejak hari pertama CCovid-19 dikesan di negara ini.
Beberapa Ahli Parlimen termasuk Ramkarpal Singh (HARAPAN -Bukit Gelugor) dan Hassan Abdul Karim (HARAPAN- Pasir Gudang) turut mengecam kenyataan Tiong.
Berdasarkan video rakaman yang turut dikongsikan di media sosial, Tiong tidak menarik balik kenyataan tersebut sehingga sesi Parlimen hari ini berakhir.
Di media sosial, rakyat memuji tindakan Rayer mempertahan Dr Noor Hisham.
0 Comments