Dari Tun M, lebih baik kerjasama dengan Anwar - Husam


BEKAS Naib Presiden Amanah, Senator Datuk Husam Musa mendakwa kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) sudah dirancang sejak hari pertama gabungan itu menjadi kerajaan.

Bercakap dalam Sembang Santai Politik di DHM Channel pada 2 November, Husam berkata perkara itu sudah banyak kali dimaklumkan kepada pucuk pimpinan termasuk kepada Timbalan Presiden Amanah, Datuk Salahudin Ayub sejak tahun lalu.

Husam mendakwa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir terlibat dalam rancangan itu.

Mengulas lanjut, beliau mendakwa, indikator pertama mengenai rancangan menjatuhkan HARAPAN itu dapat dilihat apabila Dr Mahathir melambat-lambatkan pelantikan senator dari kalangan pemimpin gabungan itu sedangkan Ahli Parlimen Langkawi itu sentiasa membuat keputusan segera dalam hal lain.

“Saya masuk (jadi senator) selepas HARAPAN jatuh tapi ada 16 kekosongan senator pada zaman HARAPAN. Tun (Mahathir) macam sudah simpan orang untuk dilantik kemudian di Dewan Negara macam Zahid Mat Arip dan Tengku (Datuk Seri) Zafrul (Tengku Abdul Aziz) dan lain-lain.

“Ia (Dewan Negara) kini ia dikuasai oleh sebelah sana (kerajaan Perikatan Nasional).

“Bagi saya kejatuhan HARAPAN dirancang dari awal, strateginya berjalan sendiri sampai masa tup jatuh, cuma tarikh tidak tentu, tidak tetap,” katanya seperti yang dilapor portal berita Malaysia Gazette.

Sementara itu tegas bekas Exco Kelantan itu menegaskan, apa-apa usaha bekerjasama dengan Dr Mahathir bagi mengembalikan mandat rakyat adalah perbuatan sia-sia.

Husam dakwa Tun M mahu jadi PM lagi


Jelasnya, satu punca mengapa HARAPAN masih gagal mengambil semula pentadbiran negara daripada Perikatan Nasional sehingga kini adalah kerana sebahagian pemimpin dalam parti itu yang masih mahu terus bekerjasama bersama bekas Presiden Umno itu.


"Sekiranya pembangkang sekarang mahu menggunakan jurutera yang sama (Mahathir) bagi merampas kerajaan, ia hanya membuang masa.

“Kita (HARAPAN) sangkut kerana tak move forward. Banyak cara lagi, bukan kata senang tapi selain Tun M jadi PM (semula) ada beratus lagi jalan yang ada,” kata dipetik laporan itu.

Menyentuh desas-desus kononnya  belaku kerjasama antara Mahathir dengan Tengku Razaleigh Hamzah untuk menubuhkan kerajaan perpaduan, Husam menganggapnya sebagai kerja yang hanya membuang masa.

Husam turut mendedahkan bahawa ada ura-ura Dr Mahathir mahu menjadi perdana menteri utuk tempoh 6 bulan lagi.

“Saya dengar Tun jadi enam bulan jadi PM, Ku Li pun enam bulan, ini buang masa. Saya sudah sampaikan salam kepada orang yang baik dengan Ku Li, baik dia kerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kalau makan kari Pelita (kedai mamak) hari-hari mana nak?” soalnya sambil menegaskan pucuk pimpinan parti perlu mengambilkira pandangan minoriti dalam HARAPAN.

 

Post a Comment

0 Comments