KEPUTUSAN Peguam Negara untuk tidak mengambil tindakan lanjut (NFA) terhadap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mohd Khairuddin Aman Razali yang melanggar perintah kuarantin kendiri wajib Covid-19 dipersoalkan.
Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh melalui ciapan di Twitternya berkata, Peguam Negara perlu memberi penjelasan terperinci kepada rakyat mengenai keputusan tersebut.
Tambahnya, sekiranya Jabatan Peguam Negara (AGC) mendapati bahawa tidak ada kes terhadap Mohd Khairuddin kerana Borang 14B tidak dikeluarkan, ia jelasnya telah membangkitkan persoalan mengapa Ahli Parlimen Kuala Nerus itu diberikan notis kompaun oleh KKM pada bulan Ogos lalu?
"Kementerian Kesihatan (KKM) juga telah mengesahkan denda sebanyak RM1,000 telah dibayar oleh Mohd Khairuddin sebelum ini.
"Pembayaran denda itu sendiri adalah pengakuan bersalah oleh Khairuddin dan adakah Peguam Negara cuba tidak mempedulikan kenyataan ini dalam kenyataan oleh AGC (Jabatan Peguam Negara) semalam?" ciapnya.
Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, polis menerima arahan agar tiada tindakan lanjut (NFA) dikenakan terhadap pemimpin PAS itu selepas kertas siasatan dirujuk kepada AGC.
Menurutnya, AGC berpandangan tiada keterangan kukuh bagi mengasaskan pertuduhan ke atas Khairuddin atas alasan tidak diserahkan dengan borang 14b di bawah Seksyen 15 (1) Akta 342 bagi tujuan menjalani kuarantin
Sementara itu, Kah Woh menggesa AGC mengkaji semula keputusan NFA tersebut.
Tegasnya, bukan tugas Peguam Negara bertindak seperti peguam pembela kepada Mohd Khairuddin untuk mencari jalan atau alasan bagi Mohd Khairuddin melepaskan diri dalam kes tersebut.
"Saya ingin mengingatkan Peguam Negara bahawa dalam kes yang jelas melibatkan Khairuddin, di mana bukti prima facie tidak diragukan lagi, satu tuduhan terhadap beliau tidak dapat dielakkan.
"Adalah tugas Mohd Khairuddin untuk membuktikan bahawa dirinya tidak bersalah di mahkamah dan dia mempunyai hak untuk mencabar kes pendakwaan," katanya.
MCA bantah Khairuddin dilepaskan
Sementara itu, MCA turut membidas keputusan AGC untuk tidak mengambil tindakan lanjut terhadap Khairddin.
Jurucakap parti itu, Chan Quin Er berkata, pemimpin kerajaan itu tidak wajar dilepaskan dari kesalahan melanggar peraturan kuarantin Covid-19 berdasarkan "kesilapan teknikal".
![]() |
Keputusan NFA kes Khairuddin dipersoalkan |
Chan, yang merupakan peguam, mempersoalkan anggapan bahawa seseorang hanya menjadi "individu yang diawasi" (PUS) apabila seorang pegawai yang diberi kuasa memerintahkan seseorang itu secara lisan untuk menjalani kuarantin.
Menyorot bahawa sebelum perjalanan Khairuddin ke luar negeri pada Julai, kerajaan telah menyatakan dengan jelas bahawa semua pelancong yang masuk dari luar negara dianggap PUS dan harus menjalani kuarantin 14 hari.
"Anda tidak menjadi PUS hanya setelah diberi salinan Borang 14B; anda secara automatik merupakan PUS sekiranya anda memasuki atau memasuki semula Malaysia dari luar negara.
"Jika tidak, ini menetapkan duluan (precedent) berbahaya di mana seseorang PUS, yang pihak berkuasa lupa untuk berikan Borang 14B, boleh melanggar kuarantin tanpa perlu dihukum," katanya.
Khairuddin telah mengunjungi Turki pada 3 Julai dan kembali ke Malaysia pada 7 Julai dan dia tidak menjalani kuarantin 14 hari.
Menteri itu dilapor menghadiri banyak acara umum termasuk sesi parlimen dan acara di Istana Negara.