Negeri Sembilan perketat langkah kawal Covid-19


KERAJAAN 
Negeri Sembilan membuat keputusan tegas untuk tidak membenarkan penceramah dan pentazkirah dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) atau kawasan yang mempunyai kluster aktif kes Covid-19  mengadakan ceramah di surau dan masjid di negeri berkenaan.

Keputusan itu sebagai langkah tambahan selain yang dinyatakan sebelum ini dalam usaha mengekang penularan Covid-19 di Negeri Sembilan jelas Menteri Besar diambil berdasarkan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri (JKKN) Khas Covid-19 yang diadakan kelmarin.

"Ini termasuk penceramah, pentazkirah, guru takmir atau mana-mana individu yang menetap di negeri ini tetapi bertugas di kawasan yang melaksanakan PKPB atau kawasan yang mempunyai kluster aktif Covid-19.

"Bagaimanapun, semua majlis pengajian ilmu yang menggunakan dewan, bilik kuliah serta ruang yang berkenaan di dalam kawasan masjid dibenarkan tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) Pihak Berkuasa dengan jumlah kapasiti yang ditentukan," kata Datuk Seri Aminuddin Harun dalam satu sidang media di Wisma Negeri.

Aktiviti keagamaan masih dibenarkan
Mengulas lanjut beliau berkata, semua aktiviti agama Islam khususnya di masjid dan surau boleh berjalan seperti sedia ada namun perlu mematuhi SOP ditetapkan.

Manakala mana-mana ceramah hendaklah mendapat kebenaran penganjuran Program dari Pejabat Agama Islam Daerah masing-masing.

Dalam perkembangan sama, Aminuddin turut menyarankan  sektor ekonomi khususnya melibatkan kedai serbaneka dan kedai makan yang sebelum ini dibenarkan beroperasi hingga jam 2.00 pagiberoperasi sehingga jam 12.00 tengah malam sahaja.

Syor itu jelasnya dicadangkan bagi mengawal dan menangani impak penularan wabak Covid-19 di Negeri Sembilan dengan menghadkan masa pergerakan masyarakat di negeri berkenaan.