KEPUTUSAN Kementerian Kesihatan membenarkan mereka yang diuji negatif Covid-19 melakukan kuarantin di rumah setelah pulang dari Sabah dipersoalkan.
Pakar penyakit berjangkit Dr Christopher Lee melalui hantaran di Twitternya berkata, saringan di lapangan terbang dan kuarantin wajib selama 14 hari dapat mengelakkan jangkitan.
Bekas timbalan ketua pengarah Kementerian Kesihatan itu merujuk dua kes membabitkan pelajar sekolah di SMK Pandamaran Jaya di Klang yang dijangkiti kluster Jalan Apas.
"Perlu jalani kuarantin walaupun setelah ujian awal di KLIA / KLIA2 negatif. Ujian negatif awal bukan bermaksud pelancong tidak akan positif pada hari-hari mendatang," katanya.
Tambahnya, pendekatan berbeza mungkin diperlukan bagi menangani kes Covid-19 yang dilapor meningkat semula.
"Lihatlah jumlah kes yang ada kaitan dengan Sabah hari ini.
"Bergantung kepada hanya satu ujian semasa masuk memang membimbangkan kecuali ia dikaitkan dengan kuarantin," kata Lee lagi.
Kementerian Kesihatan mewajibkan ujian untuk semua individu yang kembali dari Sabah mulai 27 Sept, tetapi mereka yang diuji negatif dan tidak mempunyai kontak dengan pesakit, tidak perlu menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari.
Bagaimanapun mereka digalakkan melakukan kuarantin kendiri secara sukarela dan melakukan ujian sekali lagi pada hari ke-13 di klinik kerajaan.
![]() |
Wajib kuarantin cegah penularan |
Dua kluster dikesan di Selangor dan Johor. kluster Jalan Apas membabitkan seorang invidivu yang mempunyai sejarah perjalanan ke Tawau dan Semporna dari 13 hingga 16 September.
Sementara itu, seorang lagi pakar, Dr Amar Singh berkata jangkitan Covid-19 boleh merebak ke seluruh negara tanpa adanya ujian yang dilakukan secara berulang dan kuarantin wajib.
"(Keputusan) negatif tidak boleh dipercayai sepenuhnya untuk pastikan orang itu tidak dijangkiti Covid-19. Kuarantin dan ujian berulang selama 14 hari adalah sangat penting,” tegasnya.
0 Comments