MUFTI Damsyik yang juga pemimpin paling kanan dalam komuniti Islam Syria, dilapor maut dalam serangan bom pada Khamis.
Memetik laporan portal berita Al-Arabiya, Sheikh Mohammad Adnan al-Afiouni terkorban dalam insiden tersebut apabila bom yang dipasang pada kenderaannya meletup.
“Sheikh Mohammad al-Afiouni, Mufti Damsyik dan juga kawasan sekitarnya, mati syahid selepas kumpulan pengganas menyasarkan kenderaannya di bandar Qudsaya, Damsyik," lapor media utama negara itu, Syrian Arab News Agency (SANA).
Bagaimanapun laporan itu tidak banyak memperincikan situasi kejadian tersebut.
Sheikh Mohammad dalam sebelum ini banyak mengimamkan solat jemaah yang turut disertai Presiden negara itu, Bashar al-Assad.
Badan pemantau hak asasi manusia Syria memberitahu, Sheikh Mohammad memainkan peranan penting dalam mencapai kata persepakatan dengan pejuang-pejuang pemberontak di pinggir ibu negara itu sepanjang sembilan tahun krisis perang berlanjutan.
DIlahirkan pada tahun 1954 di Damsyik, Sheikh Mohammad Adnan Al-Afiouni menjawat jawatan Mufti Damsyik pada tahun 2013, ketika negara itu masih dalam pergolakan.
Al-Afiouni maut dalam serangan pada Khamis |
0 Comments