Muhyiddin dilapor mahu laksana darurat



KABINET
dilapor bersetuju dengan pelaksaan darurat bagi menangani penularan Covid-19.

Malaysiakini dalam laporannya berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas hari ini yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Putrajaya.

Selain Malaysiakini, beberapa portal berita tempatan melaporkan perkara serupa, FMT berkata, seorang anggota Kabinet mengesahkan perkara itu dengan berkata, usaha untuk melaksanakan darurat sedang dijalankan.
 
“Perdana Menteri dalam usaha menghadap Agong,” kata seorang lagi anggota Kabinet yang enggan namanya didedahkan dipetik laporan sama.

Langkah itu ketika pentadbiran Muhyiddin berdepan ketidaktentuan berterusan dalam negara dan Ahli Parlimen Pagoh itu sendiri berdepan pelbagai desakan daripada luar dan dalam.

Ia bagaimanapun belum dapat disahkan
Dalam perkembangan berkaitan, seorang sumber berkata perkataan “darurat” itu harus dipakejkan semula supaya tidak mencetuskan rasa panik di kalangan rakyat.

“Mereka tak akan panggil darurat, tetapi nama baru lain. Sesuatu yang berkaitan dengan Covid-19,” menurut sumber itu menurut laporan The Malaysian Insider.

Pentadbiran Muhyiddin sejak hampir sebulan lalu menjadi sasaran kritikan rakyat, ia selepas tercetus gelombang baru Covid-19 yang lebih teruk berbanding gelombang pertama sebelum ini.

Rakyat melihat peningkatan kes harian melebihi angka 800 sejak beberapa hari lalu dikaitkan dengan langkah mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah susulan cubaan rampasan kuasa sebelum ini.

Kerajaan juga dikritik hebat susulan beberapa arahan berkaitan Perintah Kawalan Ppergerakan Bersyarat (PKPB) sebelum ini menimbulkan banyak kekeliruan. Ia terutama dalam isu berkaitan arahan mewajibkan pekerja sektor tertentu bekerja dari rumah.

Setakat ini, bagaimana pelaksanaan darurat itu akan dijalankan masih tidak diketahui dan desas-desus mengenai cadangan berkenaan masih tidak dapat disahkan sepenuhnya.

Post a Comment

0 Comments