K'jaan kena kecam setelah pengumuman saat akhir


PENTADBIRAN
Muhyiddin Yassin dikritik lagi susulan keputusan mengejut Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menangguhkan proses pendaftaran dan orientasi bagi pelajar universiti awam.

Sebilangan besar pelajar menyatakan kekecewaan mereka di laman Facebook Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad. Mereka bukan sahaja mendakwa kementerian itu tidak mempunyai prosuder jelas, malah pengumuman itu juga terlalu lewat.

Menurut seorang pengguna Twitter dikenali Fara, dia secara asasnya menganggap keputusan yang diambil KPT itu tepat namun ia tidak sepatutnya diumumkan pada saat-saat akhir.

“Secara jujurnya saya fikir ia merupakan keputusan baik untuk tidak membenarkan pelajar balik ke universiti sekarang.

“Tetapi jangan umum saat akhir! Pelajar sudah tempah tiket penerbangan, sudah beli tiket bas, dah bayar deposit rumah sewa baru nak umum. Oh sayang, kamu mengecewakan kami lagi,” ciapnya di Twitternya.

Sementara itu, memetik isu serupa yang dilaporkan di Malaysiakini, beberapa pelajar rurut menyuarakan rasa kecewa kerana pengumuman saat akhir itu telah merugikan ibu bapa pelajar.

"Kenapa suka buat kenyataan last minit dan U-turn menyusahkan student ni datuk? Tahu tak berapa banyak duit parent dan student kena burn," kata Abraham Amin.

"Dah sampai dari Johor ke Kelantan baru tahu. Kesian lah kami...semua dah siap....banyak duit kami habis nak masuk sekolah anak. Fikirlah sikit perasaan kami ibu bapa ni," kata Noorizwanie Jamil.

"Jangan jadi bodoh. Ini bukan pertama kali anda susahkan ramai pelajar dan ibu bapa dengan pengumuman saat akhir. Ingat ni gimik ke?" katanya Hani Abd Latif dipetik laporan itu.

Sebagai rekod, Ini bukan kali pertama Kementerian Pengajian Tinggi dikritik selepas dikatakan menyebabkan kekeliruan di kalangan pelajar.

Pelajar kecewa pengumuman
Pada Mac, arahan  mengelirukan antara Kementerian Pendidikan Tinggi dan Majlis Keselamatan Negara menyebabkan pelajar bergegas pulang selepas dimaklumkan mengenai penutupan kampus ekoran Covid-19.

Sementara itu, beberapa pihak terutama di kalangan orang awam dan parti pembangkang tampil dengan pelan bagi membantu pelajar terkandas.  

Muda, sebuah parti ditubuhkan bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumpulkan lebih daripada RM50,000 selepas tiga jam kempen mengumpul dana dilancarkan.

Dana itu bakal disumbangkan kepada golongan mahasiswa yang memerlukan bantuan.

Beberapa wakil rakyat pembangkang termasuk wakil rakyat Kampung Tunku, Lim Yi Wei, Adun Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim juga menawarkan bantuan.

Sementara seorang pelayar laman Twitter yang menggunakan nama Rashifa turut tampil menawarkan bantuan kepada mahasiswa yang terkandas.

“Kepada mana-mana pelajar Universiti Malaya (UM) yang memerlukan bayaran untuk penginapan atau pengangkutan untuk balik ke rumah mesej terus kepada saya! Saya akan cuba bantu,” ciapnya.

Post a Comment

0 Comments