Dua kapal berlanggar di perairan Tanjung Keling


DUA buah kapal dilapor berlanggar berhampiran Terminal Tanjung Bruas, Perairan Tanjung Keling, Melaka pada Jumaat.

Kejadian membabitkan kapal tangki MT Strovocos dan kapal pengangkut pasir MV Ocean Line 5001 itu berlaku pada kedudukan kira-kira 2.4 batu nautika arah barat daya Terminal tersebut.

Jabatan Laut Malaysia (JLM) dalam satu kenyataan memaklumkan perlanggaran dua kapal itu berlaku kira-kira pukul 11.38 pagi, namun tidak menyebabkan kemalangan jiwa serta ancaman kepada alam sekitar.

"MV Oceanline 5001 dari kawasan tambakan Kota Laksamana menuju ke lokasi pengambilan pasir luar had pelabuhan Melaka sebelum melanggar bahagian tengah sebelah kiri MT Strovocos yang ketika itu berlabuh di dalam had pelabuhan Melaka," menurut kenyataan itu.

Terdahulu, video mengenai insiden itu dikongsikan di media sosial Facebook.

Sebuah kapal dilihat terus bergerak menghampiri sebuah lagi kapal lain sebelum melanggarnya. Pelanggaran itu menyebabkan kedua-dua kapal tersebut mengalami kerosakan.

Dua kapal bertembung


Sementara itu JLM memaklumkan pihaknya telah menubuhkan pasukan penyiasat bagi mengenal pasti punca kejadian.


JLM juga akan sentiasa memantau situasi tersebut bagi mengekalkan keselamatan pelayaran kapal lain sekali gus memastikan alam sekitar marin tidak tercemar. 

Post a Comment

0 Comments