JUMLAH keseluruhan positif Covid-19 di negara ini kini melepasi angka 25,000 kes.
Kementerian Kesihatan siang tadi memaklumkan terdapat 1,228 kes baru Covid-19 setakat pukul 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah kes harian tertinggi pernah direkodkan di negara ini.
Dengan perkembangan terbaru itu, keseluruhan kes yang direkodkan meningkat kepada 25,742 kes setakat ini.
Sabah kekal mencatat negeri dengan kes baru paling banyak dengan 889 kes, iaitu 72.4 peratus daripada kes baru hari ini.
Di negeri-negeri di Lembah Klang yang di bawah penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), terdapat 95 kes baru - 7.7 peratus - yang dilaporkan hari ini.
Sebanyak 502 kes (41 peratus daripada kes baru) melibatkan tahanan daripada Kluster Penjara Kepayan, Kluster Penjara Seberang Perai, Kluster Penjara Reman dan Kluster Tembo, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media hari ini.
Dalam sidang hariannya, Dr Noor Hisham turut memaklumkan Seramai tujuh lagi pesakit Covid-19 meninggal dunia hari ini, menjadikan angka keseluruhan korban kepada 221 kes, iaitu 0.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Enam kes kematian berlaku di Sabah dan satu lagi di Perak.Lepasi angka 25,000 kes
Untuk bulan ini sahaja, seramai 77 pesakit Covid-19 dilaporkan telah meninggal dunia di Sabah.
Beliau turut memaklumkan, 8,966 pesakit sedang menjalani rawatan pada masa ini.
Daripada jumlah itu, seramai 92 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 31 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.
Seramai 671 pesakit telah sembuh hari ini, menjadikan jumlah kes sembuh ialah 16,555 kes.
0 Comments