SUNGAI GONG dekat Rawang yang menjadi punca gangguan air sekitar Selangor baru-baru ini tercemar lagi.
Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menyatakan pihaknya menerima laporan air sungai berkenaan didapati berwarna hitam semalam.
Melalui satu kenyataan malam tadi. LUAS memaklumkan siasatan telah dijalankan di kawasan inlet Kolam Tebatan Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mendapati, air sungai berwarna hitam itu dipercayai berpunca dari pewarna dan ia tidak mengeluarkan sebarang bau.
Siasatannya bersama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) di Stesen Pemantauan Sungai Country Home, Rawang mendapati sampel aliran air itu juga tidak berbau, tiada kesan minyak namun berwarna hitam.
"Siasatan lanjut menemukan pelepasan efluen berwarna dan berbuih, daripada discaj efluen loji rawatan kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) GBK 134 area 5, di kawasan Perindustrian Rawang.
"Pensampelan 'in situ' telah dijalankan oleh LUAS dan mendapati kandungan ammonia adalah sebanyak 5.2 mg/I dan TSS adalah 47 mg/I. Pihak IWK telah memberhentikan aliran daripada 'pam kemasukkan' dan seterusnya memberhentikan pelepasan discaj efluen," menurut kenyataan itu.
![]() |
Tiada henti tugas loji rawatan air |
Difahamkan,setakat ini pemantauan rapi dilakukan bersama agensi berkaitan di kawasan tersebut
LUAS turut meminta orang awam agar melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air di aduan@luas.gov.my atau melalui aplikasi WhatsApp: 019- 2647904.
0 Comments