KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengumumkan satu lagi mangsa jangkitan wabak Covid-19 terkorban.
Ketua Pengarah kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kematian terbaharu itu membabitkan seorang wanita warga Filipina berumur 50 tahun.'
Dengan perkembangan terbaru itu, jumlah kematian akibat wabak itu di Malaysia kini adalah sebanyak 129 kes.
Menurutnya, wanita itu mengalami gejala batuk serta sesak nafas pada 14 Sept dan mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan di Sabah, mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Semporna untuk rawatan lanjut.
Pesakit bagaimanapun tidak berbuat demikian susulan kekangan yang dihadapinya dan dia kemudian ditemukan tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke Hospital Semporna dan disahkan meninggal dunia pada hari sama (14 Sept).
“Ujian saringan menunjukkan wanita itu positif Covid-19,” katanya.
Sementara itu, Dr Noor Hisham memaklumkan kes baharu positif Covid-19 di negara ini dalam tempoh 24 jam lepas kekal dua angka pada 95 kes.
Ia meliputi 91 penularan tempatan dan empat kes import menjadikan jJumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Malaysia kini sebanyak 10,147 kes.
Bagi kes penularan tempatan, 90 adalah di Sabah iaitu 76 kes direkodkan dalam Kluster Benteng Lahad Datu (LD) melibatkan 56 rakyat tempatan dan 20 warga asing.
Eempat kes termasuk satu warga asing daripada Kluster Pulau, tiga kes Kluster Selamat, dan tiga kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) termasuk seorang warga asing di Hospital Lahad Datu.
Dua lagi kes adalah saringan bergejala di Hospital Tawau; serta masing-masing satu kes saringan kematian warga asing di Hospital Semporna (kematian ke-129) dan kes saringan kontak rapat kepada kematian ke-129.
"Satu lagi kes melibatkan Kluster Bunga di Negeri Sembilan," katanya.
![]() |
Satu kematian dilaporkan |
Terdapat sebanyak 754 kes aktif dengan kebolehjangkitan , 11 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan dua memerlukan bantuan pernafasan.
0 Comments