PIHAK Pembelaan Najib Razak dalam kes penyelewengan dana syarikat SRC International Sdn Bhd memohon supaya pelanjutan masa bagi memfailkan petisyen rayuan.
Bernama dalam laporan yang memetik peguam Nur Syahirah Hanapiah berkata, Mahkamah Rayuan telah dimaklumkan mengenai permohonan itu di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Darmafikri Abu Adam dan N Kanageswari.
"Mahkamah telah mengarahkan kami menulis surat untuk meminta pelanjutan masa itu," katanya dipetik.
Menurut prosedur mahkamah, pembelaan mempunyai tempoh selama 10 hari untuk memfailkan petisyen rayuan selepas menerima rekod rayuan. Tarikh akhir memfailkan petisyen rayuan dalam kes itu ialah Isnin depan (28 Sept).
Beliau berkata pembelaan memerlukan masa untuk menyiapkan petisyen rayuan memandangkan alasan penghakiman Mahkamah Tinggi adalah setebal 801 muka surat dan terdapat 112 jilid rekod rayuan.
Najib, mengemukakan rayuan berhubung sabitan dan hukuman yang dijatuhkan terhadapnya oleh Mahkamah Tinggi pada 28 Julai lepas.
Bekas perdana menteri berusia 67 tahun itu sebelum ini didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan membabitkan wang sebanyak RM42 juta milik dana SRC International Sdn Bhd.
Beliau telah dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. Bagaimanapun hukuman itu ditangguhkan dengan diikat jamin sebanyak RM2 juta dengan dua penjamin sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.
![]() |
Peguam Najib minta lanjut masa |
0 Comments