Otai Reformasi bidas strategi kempen Guan Eng


KUMPULAN penyokong pro-Reformasi, Otai Reformis mengkritik kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng untuk memberi memberi laluan kepada Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri alternatif

Setiausaha Otai Reformis, Abdul Razak Ismail berkata, kenyataan dibuat Guan Eng di Sabah baru-baru itu memberi implikasi kurang baik kepada Anwar Ibrahim, yang merupakan pengerusi Pakatan Harapan.

Kenyataan itu juga tambahnya telah meletakkan KEADILAN dalam keadaan tertekan, termasuk memastikan kemenangan 7 calon parti itu dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah.

“Shafie memperuntukan hanya 7 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) walaupun Anwar merundingkan 14 kerusi dengan mengunakan logo parti itu sendiri.

“Dalam situasi ini Anwar dan KEADILAN akan berasa terdesak bagi memastikan ke tujuh-tujuh calonnya menang kerusi yang ditandingi,” katanya dipetik FMT.

Abdul Razak Ismail
Razak bagaimanapun tidak menolak kemungkinan Shafie berdepan laluan sukar untuk diangkat sebagai perdana menteri walaupun Warisan menang di Sabah kerana beliau juga perlu mendapat sokongan daripada semua wakil rakyat KEADILAN.

“Jalan agak sukar untuk Shafie kerana PKR dengan 32 kerusi Parlimen sedia ada akan terus menaruh harapan Anwar akan kekal sebagai calon perdana menteri.

Razak juga menyifatkan kenyataan Guan Eng mencadangkan nama Shafie sebagai strategi untuk memenangi pilihan raya negeri Sabah memandangkan DAP bertanding menggunakan lambang Warisan.

”Semua 7 calon DAP guna logo Warisan dalam PRN ini dan sokongan rakyat Sabah kuat kepada Shafie dan Warisan boleh kembali berkuasa.

“Sokongan Guan Eng untuk Shafie jadi perdana menteri ada kaitan dengan usaha untuk memujuk rakyat Sabah supaya memastikan Warisan kekal memerintah,” katanya.
 

Post a Comment

0 Comments