Jika benar ada surat, Zuraida dah dedah awal - Lim

 
MENTERI
Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin dicabar mendedahkan semua surat yang berkaitan isu Projek Sisa Pepejal Taman Beringin atau PSPTB bernilai RM170.3 juta yang didakwa diluluskan bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Lim berkata, Zuraida tidak boleh berselindung di belakang Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), sebaliknya tampil memberi bukti kepada dakwaanya.

"Zuraida Kamaruddin main helah politik bila cuba kaitkan keputusan kabinet pada 2018 untuk memotong 10 peratus daripada harga kontrak yang diluluskan oleh BN sebagai bukti saya sendiri yang buat rundingan terus.

"Beliau hadir dalam mesyuarat kabinet yang buat keputusan memotong harga kontrak BN sebanyak 10 peratus demi menjimatkan wang negara.

"Beliau tidak boleh berselindung di belakang SPRM, dedahkan semua surat berkaitan dari saya sekiranya ada, Zuraida sendiri, Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan KSU KPKT.

"Zuraida tidak harus mendakwa bahawa ada surat sedemikian tetapi tidak berani mendedahkan surat berkenaan secara umum ," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian selepas Setiausaha Politik Zuraida, Nor Hizwan Ahmad menunjukkan beberapa pucuk surat kononnya bukti menteri itu tidak terlibat dalam sebarang rundingan terus berhubung projek di KPKT.

Nor Hizwan sebelum ini dilapor telah membuat tuduhan bahawa dalam surat bertarikh 21 Ogos 2018, MOF mengarahkan KPKT melengkapkan permohonan baru di pusat pemindahan sisa pepejal dan menghantar semula dalam 14 hari.

Surat itu menurutnya ditandatangani oleh Ketua Setiausaha (KSU) MOF.

Bagaimanapun, Guan Eng mendakwa mustahil bagi seorang menteri tidak tahu mengenai projek sebesar RM170 juta.

"Tidak mungkin projek sebesar ini diluluskan tanpa pengetahuan beliau. Sekiranya benar permohonan dibuat tanpa pengetahuan Zuraida, KSU boleh dikenakan tindakan disiplin.

"Saya tidak percaya bahawa KSU KPKT ialah seorang yang sanggup bertindak “khianat” sedemikian walaupun terhadap seorang Menteri “pengkhianat” PH.

"Jika terdapat mana-mana cadangan atau permohonan kepada MoF yang berkaitan dengan KPKT, perkara tersebut akan dirujuk dahulu kepada KPKT untuk proses seterusnya.

"Sekiranya ada surat arahan dari saya, Zuraida sudah tentu akan dedahkannya jauh lebih awal," katanya lagi.

Lim sebelum ini mendakwa PSPTB bernilai RM170.3 juta itu dimohon sendiri oleh KPKT kepada Kementerian Kewangan.

Post a Comment

0 Comments