STRATEGI penyatuan Melayu antara Umno dan PAS dijangka tidak akan mampu untuk bertahan lama, kata badan penyelidik, Ilham Centre.
Felo penyelidik Ilham Centre, Profesor Madya Dr Hamidin Abd Hamid berpendapat retorik penyatuan Melayu dan ummah akan teruji ketika Muafakat Nasional (MN) berunding untuk agihan kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Lebih malang jelasnya, isu agihan kuasa itu akan berterusan kerana tidak dapat diselesaikan kalangan parti tersebut.
“Ketika ini retorik penyatuan Melayu masih menjadi 'lauk utama' di meja makan pengundi. Pada masa sama bila realitinya, pengagihan kuasa dan kerusi, siapa ketua negeri, bahagian dan pusat, itu akan beri cabaran.
“Ini badai yang boleh melanda dan persoalan ini belum boleh diselesaikan,” katanya pada program 'Wacana Pasca PRK Slim dari Slim ke Borneo: Menuju Pilihan Raya Umum ke-15' di Universiti Malaya semalam.
Memetik laporan Sinar, Hamidin turut berkata, kecelaruan akan bertambah jelas menjelang pilihan raya.
Senario paling buruk akan dihadapi gabungan itu akan dapat dilihat apabila berlaku pertembungan kerusi antara Umno, PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang baru menganggotai MN.
“Kecelaruan akan bertambah bila makin hampir menjelang pilihan raya umum terutamanya dari sudut struktur parti.
“Bagaimana MN dan PN akan didaftarkan, logo mana mereka nak pakai atau balik semula kepada tiga penjuru. Ini yang akan mencorakkan kerjasama,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut berpandangan bahawa kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada PRK Slim tidak boleh dijadikan sebagai kayu ukur untuk menentukan sokongan dalam PRU15.
"Dalam kempen PRK Slim, boleh dikatakan tidak wujud Perikatan Nasional (PN).
"Hujah kempen lebih kepada penyatuan Melayu. Kekuatan kerajaan pemerintah hari ini seolah-olah tenggelam, malah dalam soal-selidik kami mendapati Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sangat popular sebagai individu tetapi bagaimana kerajaan itu dilihat dua cara berbeza.
"Jangan lihat penerimaan Muhyiddin itu sebagai penerimaan Perikatan Nasional atau parti," katanya dipetik laporan Awani pula.
0 Comments