Krisis Air: Empat LRA beroperasi semula


EMPAT 
loji rawatan air (LRA) yang ditutup kerana pencemaran beoperasi semula secara berperingkat sejak 10.30 malam semalam.

Perkembangan itu diberitahu Air Selangor dalam satu kenyataan malam tadi.

Menurut kenyataan tersebut pihaknya telah selesai melaksana aktiviti pencucian dan proses pengepaman telah dijalankan di LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3, dan Rantau Panjang bagi mengisi kolam imbangan.

“Air Selangor akan memaklumkan jadual pemulihan bekalan air mengikut kawasan setelah sistem agihan bekalan air distabilkan terlebih dahulu,” katanya.

Terdahulu, Empat loji rawatan air (LRA) dihenti tugas pagi ini susulan pencemaran dikesan pada sumber air mentah di Sungai Selangor.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian Selangor berkata siasatan awal Lembaga Urus Air Selangor (Luas) mendapati punca pencemaran datang dari sebuah kilang menyelenggara mesin dan jentera di Rawang yang gagal melakukan penstoran sisa minyak buangan mengikut syarat ditetapkan.

"Kita arahkan kilang ini ditutup sementara menunggu keputusan siasatan. Pemantauan rapi dari semasa ke semasa dilakukan Luas bersama agensi berkaitan bagi memastikan pencemaran bau dikawal secepat mungkin,” katanya selepas meninjau kawasan kilang hari ini.

Sementara itu menurut Air Selangor, air mentah dari Empangan Sungai Selangor dan Empangan Sungai Tinggi terus dilepaskan untuk membantu proses pemulihan sumber air mentah bagi keempat-empat LRA.

Sehingga kini, sebanyak 114 lori tangki digerakkan, 22 pili awam disediakan, dan 70 tangki statik ditempatkan di 19 pusat khidmat setempat bagi membantu pengguna yang terjejas. 


Dalam perkembangan berkaitan, Polis menahan empat lelaki pemilik kilang yang disyaki terbabit dalam kejadian pencemaran tersebut. 

Ketua Polis Selangor Noor Azam Jamaludin berkata kesemua suspek berumur lingkungan 50 hingga 60 tahun itu ditahan dalam operasi bermula kira-kira 11 malam sehingga 12.30 tengah malam tadi.

“Polis akan membuat permohonan reman di Mahkamah Selayang untuk siasatan lanjut pagi ini,” katanya dipetik  Bernama.

Post a Comment

0 Comments