HARAPAN Johor sudah ada nama calon MB


GABUNGAN parti dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) Johor dilapor telah membincangkan calon Menteri Besar mereka sekiranya Perikatan Nasional (PN) di negeri itu hilang majoriti.

Perkembangan itu menyusul susulan situasi semasa yang mencerminkan kemungkinan berlaku perubahan politik sekali lagi dalam kerajaan di negeri selatan tanah air itu setelah seorang wakil rakyat dari Bersatu dilihat sering berada dalam program sebuah parti bukan PN.

Pengerusi HARAPAN Johor, Aminolhuda Hasaan, berkata selain membincangkan calon Menteri Besar, pihaknya turut mewujudkan kerajaan bayangan mewakili pentadbiran negeri.

Perkara berkenaan jelasnya dimuktamadkan pada mesyuarat HARAPAn yang diadakan pada Sabtu lalu.

"Dalam mesyuarat HARAPAN Johor Sabtu lalu, kita bincangkan tentang Kabinet bayangan kita seandainya berlaku perubahan. Dalam masa sama, kita juga akan tentukan bilangan EXCO.

"Nama yang dicadangkan (sebagai bakal Menteri Besar) ada dua nama," katanya di Johor Bahru hari ini.

Aminolhuda yang juga Pengerusi AMANAH Johor, bagaimanapun enggan menamakan calon Menteri Besar.

Untuk rekod, DUN Johor memiliki 56 kerusi. selepas berlaku "langkah Sheraton' yang menyaksikan beberapa kerajaan negeri pimpinan HARAPAN tumbang termasuk di Johor, komposisi kerusi DUn di negeri itu berubah dengan PN menguasai 29 kerusi dan HARAPAN, 27 kerusi.

Minggu lalu, Bekas Menteri Besar Johor dari Bersatu, Datuk Osman Sapian dilapor dipecat dari parti itu kerana menyertai kempen pembangkang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim.

Tidak sampai 24 jam kemudian pemecatan ADUN kempas itu ditarik balik.

Ini menimbulkan spekulasi Osman menyokong pembangkang dan menjadikan DUN Johor mempunyai jumlah penyokong kerajaan dan pembangkang yang sama banyak.

Dalam perkembangan lain, susulan tular video dan gambar Osman dalam acara Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) Johor, malam semalam, beliau hanya menjelaskan bahawa kehadirannya sekada 'memenuhi jemputan kawan-kawan'

"Mereka mahu tahu kedudukan sebenar saya di dalam BERSATU dan simpati dengan saya. Mereka ucap terima kasih kerana bersama mereka di Slim baru-baru ini dan mereka belanja makan. Itu saja, " katanya dipetik.

Post a Comment

0 Comments