Timbalan menteri didakwa 'buli siber' pelajar


LAYANAN dua pemimpin Perikatan Nasional (PN) terhadap Veveonah Mosibin dianggap sehagai 'buli siber'.

Demikian tegas bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh merujuk tindakan Zahidi Zainul Abidin dan  Abdul Rahim Bakri yang mempersoalkan kredibiliti video tular milik pelajar berusia 18 tahun dari Sabah itu.

Dalam catatan di Twitternya, Hannah turut mempersoalkan sikap berdiam diri Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Komuniti Rina Harun dan timbalannya, Siti Zailah Mohd Yusoff dalam perkara ini.

“Jika anda tidak mengetahuinya, ini sebenarnya ialah tindakan buli siber. Oleh 2 timbalan menteri, Terhadap seorang anak muda.

“Sekali lagi, menteri wanita dan timbalannya mendiamkan diri,” tulis Ahli Parlimen Segambut itu.

Rahim padam status
Zahidi sebelum ini mengakui silap apabila mendakwa Veveonah yang juga personaliti YouTube menipu kononnya memanjat pokok semasa menjawab soalan peperiksaan. Dia kemudiannya memohon maaf.

Bagaimanapun Abdul Rahim mempertahankan dakwaan Veveonah menipu, Ahli Parlimen Kudat itu mendakwa Veveonah sengaja “membuat drama” untuk mendapat perhatian serta publisiti.

Abdul Rahim kemudian memadam hantaran di laman Facebooknya susulan kritikan pemimpin pembangkang dan warganet.

Sementara itu, bekas menteri pendidikan Maszlee Malik menyokong Veveonah pada ciapan di Twitter.

"Ia adalah satu keadaan menyedihkam bagi negara jika perkara ini terus berlaku," katanya.

Bekas menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut membidas Abdul Rahim kerana mengetepikan isu utama, iaitu kurang capaian internet di Sabah, menggesa tidak mengganggu Veveonah.

“Cukup-cukuplah membuli belia. Daripada membuang masa dan tenaga memperkecilkan Veveonah, lebih baik fokus untuk memperluaskan rangkaian internet di Sabah.

“Jangan ganggu belia,” kata bekas menteri belia dan sukan itu menerusi catatan di Twitter.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil turut  mempersoalkan mengapa Abdul Rahim tidak mengambil inisiatif menemui Veveonah, sebaliknya melempar tuduhan terhadap pelajar itu diatas talian.

Untuk rekod, Veveonah menjadi terkenal baru-baru ini selepas memuat naik satu rakaman video di saluran YouTubenya 3 bulan lalu.

Dalam rakaman itu beliau menghabiskan 24 jam di atas pokok dalam hutan untuk mendapat capaian internet terbaik bagi menduduki peperiksaan atas taliannya. 

Post a Comment

0 Comments