TINDAKAN Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) bersama rakannya berlakon menjadi golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) semata-mata demi mendapat parkir dikritik ramai.
Tindakan itu yang dipaparkan dalam video disiarkan sendiri pemimpin itu turut dikecam mahasiswa dari parti DAP.
Mahasiswa Roket berkata, GAMIS sepatutnya menunjukkan pemikiran dan tingkah laku yang lebih matang dan tidak menjadikan golongan OKU sebagai bahan gurauan apalagi mengambil kesempatan atas mereka.
“Tindakan tersebut jelas satu penghinaan terhadap golongan OKU dan juga terhadap mahasiswa yang lain. Kami dari Mahasiswa Roket amat malu dengan tindakan yang tidak bermaruah tersebut.
“Sikap buruk yang dipaparkan oleh GAMIS harus ditolak sekeras-kerasnya supaya mahasiswa Malaysia tidak mencontohinya,” kata mereka dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, satu video berdurasi lima saat dengan tajuk "Demi mendapatkan parking di masjid, maka salah seorang sahabat kami terpaksa dikorbankan untuk menjadi pelakon utama." memaparkan seorang lelaki mengajuk gaya orang OKU tular di Twitter.
Presiden GAMIS, Mohd Zofrie Zulhilmie kemudian 'dihentam' warganet sehingga menyebabkan video tersebut akhinya dipadamkan.
Zofrie kemudian tampil membuat permohonan maaf dan mendakwa tiada niat mempersenda golongan tersebut.
"Kepada Presiden GAMIS, tolong tunjukkan sikap seorang pemimpin yang boleh dijadikan tauladan. Jika anda tidak mampu, tidak usah bermimpi untuk memimpin,” tegas Mahasiswa Roket lagi.
Sementara itu, ADUN Kampung Tunku, Lim Yi Wei berkata fungsi petak tempat letak kereta OKU dikhaskan untuk kemudahan OKU dan tidak wajar disalahguna.
![]() |
Lim Yi Wei Selar tindakan Zofrie |
"Kami percaya bahawa usaha yang dilakukan oleh pihak masjid, lain-lain pemilik premis dan juga pihak berkuasa tempatan untuk menyediakan kemudahan untuk golongan OKU tidak patut disia-siakan sebegitu dan disalah guna oleh individu-individu yang tidak bertanggungjawab malah mempersenda golongan OKU," katanya.
0 Comments