Hero Iban Tracker, Awang Raweng tutup usia


BEKAS
anggota Iban Tracker sewaktu era kolonial British, Datuk  Sarjan (B) Awang Raweng, 104, dilapor telah meninggal dunia di kediaman anaknya di Sri Aman petang semalam.

Anaknya, Panggau Awang yang dipetik laporan media tempatan mengesahkan berita individu dianggap sebagai pahlawan.

Menurut Panggau, mayat mendiang Awang akan dibawa ke Dewan Suarah Kuching esok untuk upacara penghormatan akhir peringkat negeri.

"Isnin ini mayat akan dibawa ke Gereja St Thomas Kuching sebelum dikebumikan di Makam Pahlawan (Heroes Memorial) Taman Budaya, Kuching,” katanya menurut laporan itu.

Mendiang merupakan salah seorang daripada anggota Iban Tracker yang tiba di Tanah Melayu sekitar Disember 1950 sebelum diserap masuk ke dalam Rejimen Hutan Wordcestershire and Sherwood.

Beliau terkenal atas usaha menentang kira-kira 50 komunis di hutan Kluang, Johor secara bersendirian untuk menyelamatkan tentera British yang cedera.

Mendiang akan disemadikan pada Isnin
Atas jasa baktinya, mendiang dianugerahkan pingat George Cross, yang dinamakan sempena nama King George VI, daripada Ratu England pada November 1951.
 
Mendiang turut diberi peluang mengadap Ratu Elizabeth II serta kerabat diraja lain di Istana Buckingham, di samping menerima elaun khas £100 (kira-kira RM494) setiap bulan daripada kerajaan Britain.
 
Beliau juga merupakan penerima anugerah Panglima Setia Bintang Sarawak, yang membawa gelaran Datuk oleh Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud sempena ulang tahun ke-82 pada 2018 dan  menerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) sebagai menghargai pengorbanan yang dicurahkan demi keselamatan negara.

Post a Comment

0 Comments